PETALING JAYA – Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) memaklumkan terdapat tambahan syarat kelayakan pengecualian cukai bagi pembayar cukai yang layak dan mempunyai pendapatan dividen luar negara yang diterima di Malaysia mulai 1 Januari 2022 hingga 31 Disember 2026.
LHDN dalam satu kenyataan berkata, syarat tersebut ialah pendapatan dividen luar negara itu hendaklah mematuhi syarat-syarat substantif ekonomi.
Katanya, hal itu bagi memenuhi piawaian terkini pencukaian antarabangsa yang menetapkan sedemikian.
“Itu bermakna pembayar cukai perlu mematuhi syarat tambahan dengan membuktikan wujudnya hubungan yang jelas antara pendapatan dividen luar negara yang diterima dengan aktiviti sebenar di Malaysia.
“Tambahan syarat yang ditetapkan ini juga menggambarkan komitmen Malaysia dalam mematuhi piawaian pencukaian antarabangsa bagi mengelakkan pelarian cukai serta double non-taxation selaras dengan syarat-syarat yang ditetapkan oleh European Union,” katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu katanya, pendapatan dividen luar negara yang diterima di Malaysia yang dikecualikan cukai bagi kategori syarikat, syarat kelayakannya ialah dividen telah tertakluk kepada cukai di negara asal.
“Bagi kategori Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) pula, kadar cukai tertinggi (headline tax) di negara asal sekurang-kurangnya 15 peratus.
“Selain itu, bagi kategori pembayar cukai Ahli kongsi Individu berhubung dengan perniagaan perkongsian di Malaysia pula perlu mematuhi syarat-syarat substantif ekonomi,” jelasnya.
Tambah kenyataan itu katanya, tambahan syarat kelayakan iaitu syarat substantif ekonomi adalah syarikat pemastautin, PLT pemastautin atau individu pemastautin berhubung dengan perniagaan perkongsian di Malaysia dianggap mempunyai subtantif ekonomi sekiranya ia menggaji bilangan pekerja yang mencukupi dengan kelayakan yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti ekonomi tertentu di Malaysia.
“Selain itu, syarikat juga perlu melakukan perbelanjaan operasi yang mencukupi untuk menjalankan aktiviti ekonomi tertentu di Malaysia.
“Selaras dengan tambahan syarat ini, pindaan kepada Garis Panduan Layanan Cukai Berhubung Pendapatan Yang Diterima Dari Luar Negara telah dimuat naik ke Portal Rasmi LHDN pada 29 Disember dan Garis Panduan bertarikh 29 September adalah dibatalkan,” tambahnya.
LHDN berkata, bagi Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) yang dikemukakan sebelum atau pada 29 Disember pula, pembayar cukai perlu mengemukakan pindaan BNCP sekiranya tambahan syarat kelayakan substantif ekonomi tidak dipatuhi dan tiada penalti akan dikenakan. – KOSMO! ONLINE