KLANG – Seorang pekerja sub kontraktor maut terjatuh pada ketinggian lebih tujuh meter selepas terpijak bumbung yang reput ketika kerja membaikinya di sebuah kilang pembuatan paip seramik di daerah ini, Ahad lalu.
Kejadian kira-kira pukul 8.40 pagi itu mengakibatkan lelaki warga Indonesia berusia 34 tahun berkenaan terjatuh dan meninggal dunia di tempat kejadian.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Selangor berkata, siasatan pihaknya mendapati mangsa merupakan pekerja sub kontraktor yang dilantik bagi kerja membaiki bumbung di kilang tersebut.
Katanya, mangsa yang tanpa penyeliaan terpijak bumbung lutsinar yang reput lalu terjatuh setinggi kira-kira 7.09 meter.
“Kepala lelaki itu kemudian terhantuk pada sebuah mesin dan mengalami kecederaan teruk di kepala.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi itu oleh pegawai perubatan klinik berdekatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, notis larangan dikeluarkan serta-merta berkaitan aktiviti kerja pembaikan dan penukaran bumbung kepada kilang berkenaan selain arahan Larangan Kacau Ganggu lokasi kejadian.
Tambah JKKP, siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kemalangan dan pihak yang bertanggungjawab atas kemalangan tersebut.
“Kemalangan itu boleh dielak jika majikan melaksanakan penaksiran komprehensif mengikut Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).
“Tindakan ke atas pihak berkaitan akan diambil jika wujud pelanggaran mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE