fbpx

‘Jaga’ jadi sindiket edar heroin diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
CHONG Chern (kiri) bersama beberapa anggota menunjukkan sebahagian rampasan dadah jenis heroin ketika sidang akhbar di IPD Seberang Perai Selatan, di sini hari ini.

SEBERANG PERAI – Lapan lelaki termasuk tiga pengawal keselamatan diberkas dalam beberapa serbuan berasingan selepas disyaki terlibat dengan sindiket pengedaran dadah jenis heroin di negeri ini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintenden Lee Chong Chern berkata, tiga suspek iaitu pengawal keselamatan tersebut ditangkap dalam serbuan pertama yang dilakukan kira-kira pukul 10.30 malam di Batu Kawan.

Menurutnya, hasil soal siasat ke atas ketiga-tiga suspek terbabit kemudiannya membawa kepada penemuan lima bungkusan dadah jenis heroin seberat 2,305 gram dengan nilai RM25,000 yang disorokkan di tepi pagar sebuah kilang.

“Susulan serbuan dan tangkapan yang dilakukan, polis berjaya menyerbu dua lagi lokasi iaitu di Bukit Tambun kira-kira pukul 2.20 pagi, Rabu lalu dan Kubang Semang di Seberang Perai Tengah sejam kemudian.

“Dua lelaki tempatan yang dipercayai ahli sindiket turut ditahan di kedua-dua lokasi itu secara berasingan untuk membantu siasatan, namun tiada sebarang rampasan dibuat ketika itu,” katanya dalam satu sidang akhbar di ibu pejabat polis daerah (IPD) Seberang Perai Selatan, hari ini.

Chong Chern berkata, serbuan berikutnya dilakukan kira-kira pukul 9 malam di Persiaran Gurney, George Town Rabu lalu dan menahan tiga lagi suspek dan merampas dua bungkusan dadah jenis heroin seberat 910 gram bernilai RM10,000 turut dirampas.

“Ketika ditahan, kesemua lapan suspek yang berusia dalam lingkungan 19 hingga 50 tahun didapati positif dadah dan tujuh daripada mereka juga mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah.

“Risikan mendapati, sindiket pengedaran dadah ini dipercayai telah bergiat aktif sejak pertengahan tahun ini dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas juga boleh digunakan oleh seramai 16,075 penagih atau 16,075 kali penggunaan,” katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI