fbpx

Hapus subsidi bendung curi minyak di Perlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN.
NORLIDA AKMAR IDROS, WARTAWAN EKSEKUTIF

SEBELUM ini, Kosmo! menyiarkan tentang kegiatan trak pikap dari Thailand yang ‘ligat’ mengisi diesel bersubsidi berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di Perlis.

Kegiatan warga asing itu me­nimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan penduduk.

Dakwa penduduk, trak pikap bernombor pendaftaran Thailand dilihat bebas ‘mengutip’ diesel.

Bila tangki penuh, pemandu trak pikap tersebut akan pulang ke negara asalnya.

Mengikut peraturan, warga ­asing hanya dibenarkan mengisi 20 liter diesel bersubsidi bagi setiap transaksi dilakukan.

Rentetan aduan penduduk, Kosmo! turut membuat tinjauan dan mendapati dakwaan penduduk itu ada asasnya.

Keadaan itu menimbulkan persoalan kemungkinan berlaku ketirisan diesel bersubsidi selain membuka peluang kepada kegiatan penyeludupan diesel bersubsidi ke negara jiran.

Justeru, kerajaan perlu melihat semula peraturan ditetapkan bagi mengawal selia penjualan diesel mahupun RON95 bersubsidi kepada rakyat asing.

Peraturan baharu bagi me­ngawal penjualan minyak bersubsidi baharu yang lebih cekap dan berkesan serta tiada lompong perlu dikuatkuasakan segera.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Ne­geri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Mohd. Yusof berkata, pihaknya memandang serius masalah ketirisan diesel bersubsidi di negeri-negeri sempadan kerana subsidi minyak sepatutnya dinikmati oleh rakyat Malaysia.

“Kita dapati ada kes kende­raan dengan nombor pendaftaran Thailand ini mengisi diesel bersubsidi pada kuantiti dihadkan, namun dibuat di beberapa stesen minyak secara bergiliran.

“Bagi mengatasi isu itu, kementerian akan memperkenalkan peraturan baharu menerusi program Ekonomi Sempadan-Pembekalan Petrol RON95 dan Diesel Tanpa Subsidi,” katanya.

Kata beliau, menerusi program itu, kenderaan berpendaftaran asing hanya dibenarkan membeli minyak tanpa subsidi di negeri sempadan.

“Selain itu, ia juga akan menambah nilai ekonomi di kawasan sempadan dengan harga petrol dan diesel tanpa subsidi yang dijual masih lebih murah berbanding di negara jiran,” ujarnya.

Tambahnya, Perlis akan menjadi negeri rintis bagi me­laksanakan program berkenaan memandangkan sudah tersedia stesen minyak komersial tanpa subsidi di Padang Besar dan Wang Kelian.

“Program rintis dijangka bermula pada bulan depan dengan kajian impak akan dilaksanakan dalam tempoh tiga bulan sebelum keputusan dibuat untuk pelaksanaan di negeri-negeri sempadan lain,” jelasnya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menyambut baik dan bersetuju dengan pelaksa­naan penjualan minyak tanpa subsidi kepada kenderaan asing.

“Kita harap peraturan baharu ini dilaksanakan segera kerana isu rakyat asing menikmati mi­nyak bersubsidi termasuk di Perlis dan Kedah ini sudah lama berlaku.

“Mereka ini isi minyak secara kerap tetapi dalam had dibenarkan, yang mana pengusaha stesen minyak juga tidak salah dalam hal ini. Justeru, sukar untuk penguat kuasa untuk ambil tindakan,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, penjualan RON95 dan diesel tanpa subsidi dilihat dapat mengekang ketirisan mahupun isu penyeludupan bahan bakar bersubsidi tersebut ke negara jiran.

Tambahnya, Cake juga pernah menerima aduan berhubung ke­giatan itu yang didakwa berlaku di stesen minyak di Changlun, Kedah.

“Saya harap peraturan ini dapat diperluaskan segera ke negeri-negeri lain yang bersempadan bagi memastikan subsidi dinikmati oleh rakyat negara kita sahaja,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI