PETALING JAYA – Faktor kesihatan Hael Husaini menjadi punca Rocketfuel Entertainment membatalkan Konsert Hael Husaini Live in KL yang sepatutnya berlangsung pada 19 Februari 2023.
Menerusi kenyataan media, pihak pengurusan penyanyi itu terpaksa mengambil keputusan sedemikian walaupun segala persiapan sudah hampir disempurnakan.
“Pihak Rocketfuel Entertainment menzahirkan rasa dukacita atas pembatalan konsert ini kerana segala persiapan sudah pun menghampiri 70 peratus.
“Pelbagai aksi menarik telah direncanakan dengan lebih kurang 30 buah lagu yang bakal dipersembahkan nanti.
“Kebelakangan ini, kesihatan Hael tidak berapa baik disebabkan jadual kerja yang terlalu padat namun dia masih giat dengan persiapan konsert sehingga tahap kesihatannya merosot.
“Setelah berbincang dengan doktor, dia dinasihatkan untuk berehat dan tidak melakukan sebarang aktiviti seni buat sementara waktu.
“Hanya terima kasih yang dapat kami sampaikan kepada semua pihak kerana dapat menerima pembatalan konsert ini biarpun dengan hati yang berat,” kata wakil syarikat.
Menerusi kenyataan sama, Rocketfuel Entertainment turut menzahirkan maaf atas sebarang kesulitan, selain berharap semua pihak menerima berita pembatalan konsert ini dengan hati terbuka.
Pihak penganjur juga menyatakan pembeli tiket boleh mendapatkan wang mereka kembali dengan menghubungi talian Ubertickets WhatsApp Hotline 019-5881810.
“Kami faham perasaan gusar yang dirasai peminat dan pihak kami memberi jaminan bahawa setiap pembeli akan diberikan pulangan penuh.
“Sebagai maklumat tambahan, segala pengembalian wang boleh dilakukan menerusi laman web yang tertera dalam kenyataan media ini,” kata wakilnya lagi.
Sebelum ini Konsert Hael Husaini Live In Kuala Lumpur sepatutnya berlangsung pada 4 Disember 2022, sebelum ditunda ke 19 Februari depan atas isu sama. – KOSMO! ONLINE