LEEDS – Manchester City terus memberi tekanan kepada Arsenal dalam perebutan takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas mencatat kemenangan 3-1 ke atas Leeds United pada perlawanan yang berlangsung di Elland Road awal pagi semalam.
Pada perlawanan itu, The Citizens menjaringkan tiga gol hasil dua jaringan penyerang, Erling Haaland dan satu Rodri manakala gol saguhati tuan rumah dijaringkan bek kiri, Pascal Struijk.
Dua jaringan yang dilakukan Haaland turut menyaksikan pemain antarabangsa Norway itu memahat sejarah baharu Liga Perdana apabila menjadi pemain pertama menjaringkan 20 gol dalam 14 perlawanan.
Haaland berkata, dia menjadikan perlawanan itu sebagai tempat melepaskan geram memandangkan Norway gagal melayakkan diri untuk beraksi pada saingan Piala Dunia 2022 di Qatar baru-baru ini.
“Saya rasa sangat marah kerana hanya berada di rumah sepanjang saingan Piala Dunia berlangsung, jadi saya ‘cas bateri’. Menyaksikan pemain lain menjaringkan gol di Piala Dunia, ia membuatkan saya lebih bermotivasi.
“Naluri saya memang seperti ini, saya sentiasa dahagakan gol walaupun sudah melakukan satu jaringan. Bagi saya, ia satu perkara yang positif memandangkan peranan saya sebagai penyerang,” katanya.
Sekiranya Haaland mampu mengekalkan rentak konsisten sehingga ke penghujung musim, dia mungkin boleh meleburkan rekod jaringan 34 gol semusim yang dilakukan Andy Cole pada saingan 1993/94 dan Alan Shearer (1994/95). – AGENSI