KUALA LUMPUR – Kumpulan muzik Kugiran Masdo menzahirkan rasa teruja apabila impian mereka untuk sepentas bersama pemuzik Indonesia, The Changcuters akhirnya tertunai pada konsert yang berlangsung di Zepp Kuala Lumpur (KL) di sini malam tadi.
Kugiran Masdo yang dibarisi Ali Sariah iaitu vokalis, Putu Ceri, Asmawi dan Azham itu menyifatkan kelestarian konsert tersebut sebagai satu platform penyatuan dua genre muzik dan negara berbeza dalam satu acara.
“Mimpi kami untuk bersama mereka menghiburkan anda di atas satu pentas akhirnya tertunai.
“Terima kasih atas semangat luar biasa yang anda berikan kepada kami malam ini (semalam),” kata pemilik nama penuh Aliff Fahmi Bahtiar berkenaan.
Biarpun mengentengahkan genre berbeza iaitu pop yeh yeh dan rock ‘n’ roll, Masdo dan The Changcuters berjaya ‘meracun’ lebih 2,000 jiwa penonton malam tadi.
Mempersembahkan sebanyak 13 buah lagu dalam konsert yang berdurasi lebih dua jam, persembahan dua kumpulan tersebut cemerlang sebagai penutup acara 2022.
Sementara itu, vokalis The Changcuters, Mohammad Tria Ramadhani atau Tria terharu dengan sambutan hebat yang diberikan oleh peminat mereka di sini.
“Persembahan malam ini mengubati kerinduan kami selepas hampir enam tahun tidak menjejak kaki ke Malaysia.
“Sokongan luar biasa daripada anda membuat kami akan terus berkarya dan menghasilkan lagu hebat buat semua. Terima kasih Masdo dan pihak penganjur atas kesempatan hebat ini,” katanya yang masih kekal lincah di atas pentas pada usia 40 tahun.
Selain Tria, kumpulan yang ditubuhkan di Bandung itu turut dianggotai oleh Qibil selaku gitaris, Dipa (basis), Erick (pemain dram) dan Alda (gitaris).
Menerusi acara sama, dua kumpulan tersebut mendendangkan lagu popular masing-masing iaitu Dinda, Bunga, I Love You Bibeh dan Gila-Gilaan.
Mereka juga membuat kejutan dengan berduet lagu popular masing-masing iaitu Janji Manis dan Racun Dunia.- KOSMO! ONLINE