MADRID – Hasrat juara Sepanyol, Real Madrid untuk menyambar Enzo Fernandez dijangka sukar selepas Chelsea dikatakan bersedia menebus klausa perpindahan bintang tengah meningkat naik Argentina itu.
Difahamkan, The Blues sudah diberikan ‘lampu hijau’ oleh pemilik kelab itu dengan bayaran sebanyak £105 juta (RM558.98 juta) bagi mengaktifkan klausa dalam kontrak Fernandez.
Berdasarkan laporan media-media di Eropah, wakil Chelsea dikatakan telah berbincang perkara berkenaan dengan ejen kepada Fernandez iaitu Jorge Mendes dan Presiden Benfica, Rui Costa.
Situasi tersebut tentunya dapat memujuk Benfica melepaskan Fernandez, 21, walaupun pada awalnya keberatan untuk menjual Pemain Muda Terbaik pada Piala Dunia Qatar 2022 itu.
Jika menjadi kenyataan, ia bakal menjadi rekod perpindahan termahal Chelsea mengatasi pembelian Romelu Lukaku dari Inter Milan dengan harga £97.5 juta (RM519.05 juta) tahun lepas.
Kini, segalanya terpulang kepada Fernandez untuk memilih sama ada menyertai Chelsea atau Real Madrid yang baru-baru ini menunjukkan minat mereka untuk mendapatkan khidmatnya.
Los Blancos merasakan Fernandez adalah pilihan ideal berbanding bintang Borussia Dortmund, Jude Bellingham untuk menggantikan dua tempat pemain tengah veteran, Luka Modric dan Toni Kroos di Santiago Bernabeu.
“Saya tidak tahu apa-apa mengenai perpindahan. Saya tidak mahu terlibat dan serahkan segalanya kepada ejen (Mendes) kerana fokus saya hanyalah kepada Benfica,” kata Fernandez.
Manchester United juga antara kelab berminat menandatangani Fernandez tetapi klausa perpindahannya yang tinggi selain sudah berbelanja besar awal musim ini mungkin membataskan hajat tersebut. – AGENSI