WASHINGTON – Seekor buaya sebuah zoo di Washington mati dipercayai akibat terkena renjatan elektrik selepas ‘membaham’ peralatan elektrik, lapor akhbar Daily Star.
Buaya Cuba atau Crocodylus rhombifer itu merupakan reptilia yang sangat terancam. Ia mati di dalam kandangnya di Zoo Negara dan Institut Biologi Pemuliharaan Smithsonian (NZCBI).
Reptilia berusia 10 tahun yang dilahirkan di zoo tersebut dipercayai ‘tertarik’ dengan sejenis peralatan elektrik gantian sebelum ‘menyerang’ infrastruktur elektrik di habitatnya.
“Dikenali dengan sikapnya yang agresif, buaya tersebut menarik peralatan elektrik dari dinding dan membahamnya sehingga hancur,” kata NZCBI dalam satu kenyataan.
Buaya itu hidup sejak 2012 dan ia merupakan sebahagian daripada program pembiakan untuk spesies tersebut bagi memulihkan bilangannya yang semakin berkurangan.
Buaya Cuba diklasifikasikan sebagai sangat terancam kerana hanya terdapat 3,000 baka tulen yang wujud di dunia hidupan liar.
Sepanjang hayat haiwan itu berada di dalam kurungan, ini adalah kali pertama ia difahamkan menyerang peralatan elektrik, namun siasatan terhadap kematian buaya itu telah dilakukan untuk menentukan secara punca kematiannya. – Agensi