fbpx

AS kenakan syarat kemasukan untuk pelancong China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penumpang beratur di kaunter daftar masuk Lapangan Terbang Antarabangsa Hong Kong, kelmarin. - AFP

WASHINGTON – Pengembara dari Tanah Besar China, Hong Kong dan Macau perlu menyerahkan ujian saringan negatif Covid-19 sebelum memasuki Amerika Syarikat (AS) bermula 5 Januari tahun depan, demikian menurut pengumuman pentadbiran Presiden Joe Biden kelmarin seperti dilaporkan agensi berita United Press International.

Keperluan baharu itu diwujudkan ketika China sekali lagi mengalami lonjakan kes Covid-19 apabila lebih 250 juta kes positif dilaporkan dalam tempoh 20 hari pertama bulan ini.

Di bawah peraturan baharu itu, para pengembara yang berumur lebih dua tahun perlu menyerahkan ujian negatif Covid-19 yang dilakukan dalam tempoh dua hari sebelum berlepas ke AS.

Dasar tersebut juga terpakai kepada para pelancong yang menaiki penerbangan transit di China.

Bagi yang diuji positif Covid-19 pada 10 hari sebelum berlepas, mereka boleh menyerahkan dokumen yang membuktikan telah sembuh, dan bukannya ujian negatif.

Pengumuman terbaharu itu juga dibuat selepas Beijing melonggarkan sekatan Covid-19 berikutan tindak balas orang ramai yang menentang dasar sifar Covid termasuk perintah berkurung.

Bermula 8 Januari tahun depan, pengembara yang memasuki China tidak lagi perlu dikuarantin semasa ketibaan sekali gus menamatkan amalan yang telah dilaksanakan sejak Mac 2020.

Selain AS, Itali, Jepun dan India turut mengumumkan langkah-langkah tersendiri bagi mencegah penularan varian baharu dari China.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS memberi amaran bahawa varian baharu virus Covid-19 berkemungkinan akan muncul berikutan pengurangan ujian saringan dan laporan kes-kes di China. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI