PUTRAJAYA- Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan melakukan lawatan rasmi ke Indonesia dalam masa terdekat.
Perkara berkenaan disahkan sendiri ketika beliau melakukan sesi kunjungan hormat ke atas Presiden republik itu, Joko Widodo di Istana Merdeka, Jakarta hari ini.
Bagaimanapun menerusi hantaran dalam laman sosial rasmi Wisma Putra berkata, tarikh tepat mengenai lawatan itu belum dimuktamadkan, namun akan dibuat tidak berapa lama lagi.
“Semasa kunjungan terhadap pemimpin itu, Menteri Luar telah menyampaikan cadangan lawatan rasmi Perdana Menteri ke Jakarta dan dirancang dalam masa terdekat,” katanya.
Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, pertemuan Zambry dengan Joko atau juga mesra disapa sebagai Jokowi, turut membincangkan pelbagai isu dua hala yang berkepentingan.
“Antaranya sempadan maritim dan darat, kerjasama ekonomi termasuk pelaburan di ibu kota baharu Indonesia, Nusantara dan isu pembantu rumah negara berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE