GEORGE TOWN – Kos penyelenggaraan kenderaan yang tinggi dan kenaikan gaji pemandu menjadi punca tambang bas sekolah terpaksa dinaikkan tahun depan.
Seorang pengusaha bas yang hanya mahu dikenali sebagai Ramesh, 40-an berkata, tindakan itu adalah bersesuaian dengan situasi ekonomi semasa.
“Banyak sebab saya perlu naikkan harga tambang bas sekolah tahun depan. Kami terpaksa tanggung kos selenggara dan baik pulih van atau bas sekolah yang tinggi setiap bulan bagi memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat.
“Bukan itu sahaja, saya juga perlu memikirkan tentang kebajikan pemandu van sekolah. Ada yang sudah bersuara mahu gaji dinaikkan tahun depan dan saya perlu menunaikannya.
“Ketika ini, bukan senang untuk menggajikan pemandu, lebih-lebih lagi ramai pula antara mereka yang sudah beralih kepada pekerjaan lain ketika pandemik Covid-19 dahulu. Jika ada pun, ramai yang sudah berusia 50-an,” katanya kepada Kosmo!.
Seorang pengusaha dan juga pemandu van sekolah yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad, 49, berkata, dia tidak memaksa mana-mana ibu bapa atau penjaga pelajar untuk terus mendapatkan perkhidmatannya selepas menetapkan kadar tambang baharu tahun depan.
“Saya terpaksa naikkan tambang baharu cuma RM20 seorang bagi menampung kos sara hidup diri dan keluarga. Ini belum lagi berdepan dengan pelbagai kerosakan van.
“Saya perlu menanggung isteri dan lima anak yang masih bersekolah. Saya tidak memaksa ibu bapa berbuat demikian (membayar ikut tambang baharu) kerana ramai lagi yang memerlukan perkhidmatan van sekolah ketika ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE