SEOUL – Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera apabila sebuah bas dan trak berlanggar di dalam terowong sebuah lebuh raya di pinggir ibu kota Korea Selatan, Seoul dalam kemalangan yang mencetuskan kebakaran besar.
Menurut laman berita Wion News, insiden tersebut berlaku kira-kira pukul 1.50 tengah hari (waktu tempatan) semalam di Lebuh Raya Kedua Gyeongin.
Rakaman di media sosial memaparkan terowong yang dibina bagi melindungi bangunan-bangunan sekitarnya daripada bunyi bising itu segera dipenuhi api dan asap tebal berikutan kemalangan itu.
Seorang pegawai kecemasan memberitahu, sekurang-kurangnya 37 orang cedera dan tiga daripada mereka parah.
Kebakaran tercetus selepas sebuah bas bertembung dengan trak di lebuh raya berkenaan di bandar Gwacheon, kata seorang pegawai jabatan bomba Gwacheon kepada agensi berita AFP.
Bagaimanapun, kata pegawai tersebut, siasatan untuk menentukan punca kejadian masih dijalankan, walaupun api berjaya dipadamkan.
Beliau menambah, 44 kenderaan musnah dalam kebakaran itu.
“Kami sedang melakukan pencarian di dalam terowong sekiranya ada korban tambahan.
“Tiga mangsa melecur di bahagian muka, manakala selebihnya sedang dirawat kerana terhidu asap,” kata pegawai bomba kepada AFP.
Sementara itu, Menteri Dalam Negeri, Lee Sang-min menggesa sumber maksimum digunakan untuk menyelamatkan nyawa mangsa, lapor agensi berita Yonhap.
“Saya menggesa pihak berkuasa untuk melakukan usaha terbaik bagi menyelamatkan nyawa mereka yang terlibat,” katanya. – Agensi