GUA MUSANG – Operasi penghantaran bakul makanan menggunakan tiga buah helikopter Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) ke enam buah penempatan Orang Asli di daerah ini yang terputus jalan perhubungan darat selesai sepenuhnya semalam.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM, Pangkalan Wilayah Tengah Subang, Selangor, Timbalan Penguasa Bomba II, Mohd. Hasrizal Kamaruzzaman berkata, jumlah keseluruhan penghantaran yang dilakukan sepanjang tugasan tersebut dianggarkan sebanyak lebih 23 tan bekalan makanan asas termasuk beras, minyak masak dan makanan dalam tin.
Katanya, penerbangan ke perkampungan Orang Asli di Kampung Tendrik merupakan destinasi terakhir menggunakan pesawat helikopter jenis Agusta Westland 139 (AW139) dan Agusta 109E (A109E).
“Pada hari kelima (semalam), kru penerbangan ditugaskan membawa 270 beg bekalan makanan ke penempatan Orang Asli suku kaum Temiar tersebut.
“Sebanyak 232 beg seberat lebih 2.3 tan dihantar menggunakan AW139 manakala 38 beg bersamaan berat 482 kilogram dihantar menggunakan helikopter A109E,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Hasrizal, misi yang bermula pada Ahad lalu turut mendapat kerjasama anggota daripada anggota Balai Bomba dan Penyelamat Gua Musang, Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Katanya, taklimat operasi dan keselamatan telah diberikan oleh anak kapal kepada semua yang terlibat sebelum penerbangan dimulakan.
“Secara keseluruhannya, kita berjaya menghantar 3.4 tan pada hari pertama, 4.2 tan (hari kedua), 6.6 tan (hari ketiga), 6.1 tan (hari keempat) dan 2.9 tan (hari kelima)
“Anggota yang terlibat telah berlepas pulang ke Pangkalan Udara Pangkalan Wilayah Tengah dan Pangkalan Wilayah Utara Bertam, Pulau Pinang,” katanya. – KOSMO! ONLINE