PETALING JAYA – Sebanyak 1.8 juta akaun pelanggan yang didakwa bocor seperti yang didedahkan oleh sebuah laman sesawang baru-baru ini, adalah akaun-akaun yang tidak wujud atau tidak sah.
Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan hari ini.
“Siasatan awal ke atas maklumat nombor akaun Maybank yang dipaparkan dalam laman sesawang berkenaan mendapati bahawa akaun-akaun berkenaan adalah tidak sah atau tidak wuud.
“Ini kerana transaksi tidak boleh dilakukan melalui nombor akaun tersebut. Siasatan awal juga mendapati terdapat potensi data yang didakwa bocor adalah merujuk kepada satu insiden kebocoran yang berlaku pada tahun 2018,” katanya.
Walau bagaimanapun, tambahnya, pengesahan rasmi daripada pihak berkaitan adalah diperlukan untuk tujuan siasatan terperinci di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 [Akta 709].
Katanya, siasatan mengenai kebocoran data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam laman sesawang berkenaan akan diserahkan kepada Agensi Keselamatan Siber Negara untuk tindakan selanjutnya memandangkan ia adalah di luar bidang kuasa Akta 709.
Fahmi mengeluarkan kenyataan tersebut sebagai reaksi kepada dakwaan kebocoran data melibatkan hampir 13 juta rakyat Malaysia daripada pangkalan data milik Maybank, Astro dan SPR.
Sementara itu, notis sekatan juga telah dikemukakan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi tujuan menghalang orang awam mengakses laman sesawang tersebut.
“Saya ingin mengingatkan semua pengguna agar sentiasa memastikan tahap keselamatan siber berada pada paras yang baik dan sentiasa memathui prinsip dan standard perlindungan data peribadi selaras dengan Akta 709.
“KKD melalui Jabatan Perlindungan Data Peribadi dengan kerjasama CyberSecurity Malaysia sedang mendapatkan maklum balas daripada Maybank dan Astro berhubung dakwaan kebocoran data bagi memastikan kesahihan pemilikan data,” katanya.- KOSMO! ONLINE