PADANG BESAR – Seorang lelaki warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas ke dalam longkang di Kilometer 10.5 Jalan Kangar-Padang Besar dekat sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, mangsa, Abdul Razak Hamid, 80, meninggal dunia di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah berkata, kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Padang Besar menghala Beseri.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal jenis Honda C70 ditunggangi mangsa hilang kawalan lalu terbabas ke tepi jalan sebelum terjatuh ke dalam longkang,” katanya.
Kata beliau, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Fauziah untuk bedah siasat,” katanya. – KOSMO! ONLINE