fbpx

Sultanah Johor cemar duli lawat pusara kanak-kanak mangsa dera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEGAMAT – Permaisuri Johor, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah mencemar duli melawat pusara kanak-kanak lelaki mangsa dera di Tanah Wakaf Perkuburan Islam di Kampung Sungai Gatom, di sini, hari ini.

Baginda turut bertanya khabar serta memberikan kata-kata semangat kepada keluarga mangsa yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Gatom.

Baginda diiringi isteri Pemangku Raja Johor, Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam yang turut berkenan menyiram air mawar serta menabur bunga di pusara kanak-kanak lelaki malang berusia empat tahun berkenaan.

Rombongan Baginda meluangkan masa hampir satu jam dan kemudiannya berangkat pulang pada pukul 3.55 petang.

Turut mengiringi Baginda adalah Timbalan Mufti Johor, Datuk Faizal Mohammad, Ketua Polis Johor, Komisioner Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Baginda tiba kira-kira pukul 2.52 petang di sambut Pegawai Daerah Segamat, Hasrin Kamal Hashim, Ketua JPJKK Johor SAC, Rupiah Abd Wahid, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Assistant Komisioner Ismail Dollah dan Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah.

Sementara itu, datuk saudara mangsa, Ruslan Ahmad, 48, berkata, walaupun gugup tetapi dia merasa terharu dengan keberangkatan Baginda Permaisuri Johor yang datang ke tanah perkuburan cucu saudaranya.

“Memang saya gugup ketika disapa mesra Raja Zarith Sofiah yang datang semata-mata untuk menziarahi pusara cucu saudara saya.

“Saya turut melihat Che’ Puan Besar Khaleeda Bustamam menyapu air mata atas simpati dan tentunya berasa amat terkesan dengan kejadian tersebut kerana beliau juga merupakan seorang ibu.

“Ini adalah kenangan yang sangat bermakna buat saya dan isteri,” katanya ketika di temui di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Sungai Gatom, Labis, petang ini.

Sementara itu, pihak polis mengesahkan punca kematian kanak-kanak lelaki berusia empat tahun tersebut adalah akibat hentakan objek keras dan tumpul di kepala.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata, punca kematian itu diperoleh hasil bedah siasat mayat mangsa di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, semalam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI