LUMUT – Seorang lelaki maut manakala seorang wanita parah apabila motosikal ditunggang mereka bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Pekan Gurney, Sitiawan dekat sini tengah malam tadi.
Mangsa, Mohamad Azman Faizal, 20, maut di lokasi kejadian manakala wanita dipercayai kakaknya yang berusia 26 tahun cedera parah dan dihantar ke Hospital Seri Manjung (HSM).
Pemandu kereta jenis Proton Wira turut mengalami cedera parah dan dihantar ke hospital sama untuk menerima rawatan.
Difahamkan, penunggang dan pembonceng motosikal baru selesai bekerja syif malam di sebuah restoran makanan segera di Sitiawan dan dalam perjalanan pulang ke rumah di Bandar Baru Setia Awan Perdana sebelum bertembung dengan kereta tersebut.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.35 tengah malam dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sitiawan bergegas ke lokasi kejadian.
Jelasnya, didapati terdapat tiga mangsa melibatkan sebuah kereta Proton Wira dan sebuah motosikal jenis Honda Wave ketika tiba di lokasi kejadian.
“Berikutan itu, anggota melakukan rawatan awal kepada mangsa yang cedera manakala seorang lagi disahkan maut oleh pasukan perubatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, dua mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak perubatan yang menggunakan ambulan untuk dibawa ke HSM manakala mangsa maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Beliau memaklumkan operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan II Razlan Dimyati itu tamat sepenuhnya pada pukul 1.47 pagi. – KOSMO! ONLINE