PETALING JAYA – Menteri Kesihatan, Dr. Zaliha Mustafa dilihat membuat lawatan mengejut ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Selangor, malam tadi.
Gambar yang dimuat naik oleh @ansaleya di Twitter yang telah tular sejak pagi tadi menunjukkan Zaliha Mustafa sedang berbual dengan seorang pesakit di ruangan menunggu.
“Memang pasti malam tadi memang Menteri Kesihatan. Siapa sahaja yang perasan kalau datang mengejut mcm pesakit juga kan?
“Patutlah dia ada tanya beberapa orang. Macam tiada siapa pun yang sedar itu menteri kesihatan,” ciap @ansaleya.
Sehingga kini ciapan tersebut telah mendapat 1,848 perkongsian dan 3,306 tanda suka.
Tinjauan Kosmo! di ruangan komen mendapati ramai yang memuji tindakan Zaliha Mustafa yang dilihat prihatin kerana sanggup turun padang meninjau isu berkaitan pengurusan kesihatan.
“Setuju sangat menteri kita sendiri jenguk turun macam ini lagi-lagi pada waktu puncak. Hospital kerajaan memang banyak isu yang kritikal,” komen seorang netizen.
“Berharap dengan kunjungan menteri, ada perubahan signifikan selepas ini,” komen netizen yang lain pula.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke turut meninjau perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya secara mengejut pada hari pertama beliau menerajui Kementerian Pengangkutan (MOT).
Tindakan itu telah mendapat pujian orang awam kerana sikap komited yang ditunjukkan dalam melaksanakan amanah yang diberi. – KOSMO! ONLINE