BEIJING – Beribu-ribu rakyat China bergegas menempah tiket penerbangan ke luar negara selepas Beijing akhirnya menamatkan peraturan kuarantin wajib yang dikuatkuasakan sejak tiga tahun lalu, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Beijing Isnin lalu mengumumkan bermula 8 Januari tahun depan, penumpang ketibaan antarabangsa tidak perlu lagi dikuarantin dan ia merupakan langkah terbaharu untuk melonggarkan dasar sifar Covid.
Sebelum itu awal bulan ini, China membatalkan ujian saringan mandatori dan perintah berkurung di negara itu.
Kini, ramai penduduknya gembira apabila mengetahui langkah penamatan sekatan yang menyebabkan sebahagian besar negara tersebut ditutup kepada dunia sejak Mac 2020 akibat pandemik Covid-19.
Penamat sekatan itu juga bermakna para pengembara hanya perlu menjalani ujian tindak balas rantian polimerase (PCR) 48 jam sebelum mereka memasuki China dengan menaiki pesawat.
“Saya berasa seperti epidemik ini telah berakhir. Rancangan perjalanan yang saya buat tiga tahun lalu kini mungkin menjadi kenyataan,” kata seorang pekerja pejabat di Beijing, Fan Chengcheng.
Sementara itu, seorang wanita dari Shanghai yang hanya mahu dikenali sebagai Chen pula berkata, keputusan pemerintah itu umpama seseorang telah menekan ‘butang’ untuk menamatkan filem sambil menambah bahawa ibu bapanya di Britain akan dapat melawatnya dengan lebih mudah.
“Akhirnya, China kembali normal,” katanya.
Carian dalam internet untuk penerbangan ke luar negara melonjak apabila berita tersebut diumumkan dengan laman web tempahan pelancongan, Tongcheng, menyaksikan lonjakan 850 peratus dalam carian dan peningkatan 10 kali ganda dalam pertanyaan mengenai visa.
Saingannya, Trip.com pula menyatakan bahawa carian untuk destinasi luar negara yang popular meningkat 10 kali ganda dalam tempoh setengah jam selepas pengumuman itu dengan para pengguna sangat berminat untuk pergi ke Macau, Hong Kong, Jepun, Thailand dan Korea Selatan. – AGENSI