SHAH ALAM – Pemakaian pelitup muka akan diwajibkan kepada pekerja dan pengendali makanan di Selangor secara berperingkat, mulai tahun depan.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pelaksanaan itu dibuat bagi memperkasakan aspek kebersihan penyediaan makanan sekali gus memberi keyakinan kepada pelanggan.
“Dalam tempoh tiga bulan pertama tahun depan, kita akan menggalakkan restoran dan kedai makan untuk pekerja mereka memakai pelitup muka ketika menyediakan makanan.
“Selepas itu, baharu kita mewajibkan pemakaian pelitup muka. Ini semua kita buat atas kepentingan kesihatan awam,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis ‘Capacity Building’ Gerak Gempur SPM 2022, di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Midlands, di sini, hari ini.
Terdahulu, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada hari ini memaklumkan peniaga dan pengendali makanan di bandar raya ini diwajibkan memakai pelitup muka mulai 1 Januari tahun depan atau berdepan tindakan kompaun.
Dalam pada itu, Amirudin meminta pihak PBT melaksanakan perkara tersebut dengan tidak terlalu tegas kepada kumpulan pekerja yang terikat dengan arahan berkenaan.
Tegas beliau, kebarangkalian ramai pemilik restoran dan kedai makan yang belum bersedia untuk mengikut arahan itu.
“Justeru, pelaksanaan arahan itu perlu dibuat secara berlembut terlebih dahulu. Dari segi mengenakan kompaun, ia boleh dibuat selepas tempoh beberapa bulan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE