BESUT – Penduduk Kampung La, Hulu Besut, di sini yang terjejas teruk akibat banjir merayu kerajaan agar segera membantu mereka bangkit semula daripada musibah berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Komuniti Kampung (JPKK) Kampung La, Abdul Razak Laboh berkata, rata-rata penduduk mahu penempatan semula di kawasan baharu yang bebas banjir.
“Kami sudah tidak tahan lagi terpaksa berdepan dengan bencana banjir saban tahun sejak puluhan tahun lalu.
“Banjir kali ini sangat teruk kerana sembilan rumah penduduk telah musnah dengan enam daripadanya dihanyutkan arus deras banjir,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Ujarnya, sebuah rumah yang hanyut itu sudah tiga kali dibaik pulih akibat banjir sebelum ini.
Jelasnya, semua 100 keluarga terjejas dalam banjir itu dengan 12 keluarga terpaksa menumpang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Kampung La sehingga rumah mereka siap dibaiki.
“Tiada lain, hanya penempatan semula mampu selesaikan masalah banjir yang membelenggu kami puluhan tahun.
“Tapak yang bebas banjir seluas 60.75 hektar di dalam perkampungan ini sudah ada dan hanya menunggu kelulusan kerajaan,” katanya.
Katanya, penduduk telah lama mencadangkan penyelesaian menang-menang dengan sanggup membayar kos pembinaan semula rumah terbabit.
Tambahnya, pembiayaan mudah dalam tempoh 25 hingga 30 tahun dicadangkan agar tidak membebankan penduduk Kampung La di pedalaman. -KOSMO! ONLINE