PETALING JAYA – Aksi pasangan tular dipercayai warga Russia menceroboh Menara Merdeka 118 dengan memanjat ke puncak pencakar langit berkenaan baru-baru ini dikecam orang ramai.
Pasangan yang terkenal dengan aksi memanjat puncak pencakar langit berkenaan menjadi bualan warga tempatan selepas gambar mereka berdua di puncak menara berkenaan dimuat naik di sebuah forum dalam talian.
Forum dalam talian yang dikenali sebagai Skyscrapper City itu merupakan sebuah komuniti yang mengumpulkan pencinta pencakar langit, perancangan bandar dan struktur bangunan dari serata dunia.
Salah seorang daripada pasangan tersebut turut berkongsi gambar dalam satu hantaran di Instagram sambil memberitahu berjaya menawan menara kedua tertinggi di dunia berkenaan selepas berjam-jam mendaki sambil mengelak dikesan televisyen litar tertutup dan pasukan keselamatan.
“Saya mendengar pelbagai cerita berkenaan cubaan memanjat menara ini tanpa kebenaran. Yang paling sedih sehingga dipenjara beberapa bulan.
“Ada banyak pintu tertutup dan CCTV di dalam menara berkenaan. Perkara itu membuatkan ia menara yang paling diidamkan di seluruh dunia,” kata salah seorang pasangan tersebut.
Rata-rata pengguna media sosial tidak senang dengan tindakan pasangan tersebut dan berharap agar pihak polis segera melakukan tindakan sepatutnya.
“Kadang kalau tengok pasangan ini sengaja nak meremehkan sistem keselamatan, nak buktikan bahawasanya mereka ni hebat.
“Hebat kalau bahayakan diri sendiri tidak guna juga,” jelas Johari78.
“Harap pihak polis dapat panggil pasangan ni dalam masa terdekat, kalau tidak pasti ada lagi yang akan buat perkara sama,” jelas salah seorang pengguna Instagram. – KOSMO! ONLINE.