fbpx

Mira Filzah susah nak percaya orang jaga anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEJAK menjaga anak sendiri sepenuhnya kerana pembantu pulang ke kampung, timbul rasa kagum dalam diri Mira Filzah kepada golongan suri rumah sepenuh masa yang menjaga anak-anak mereka.

PETALING JAYA – Aktres popular, Mira Filzah mengakui terkesan dengan ‘kehilangan’ sementara pembantu rumahnya yang pulang ke kampung untuk beberapa bulan atas urusan kecemasan.

Justeru, pemilik nama lengkap Nur Amirah Filzah Badioezaman itu mengakui dia sukar membina kepercayaan dengan orang baharu untuk mengambil alih tugas menjaga anak kesayangannya.

“Bukan tidak mahu panggil pengasuh datang setiap hari, tetapi susah untuk membina kepercayaan terhadap orang.

“Meskipun baru bekerja selama lima bulan, saya sudah percaya pembantu rumah itu. Tiba-tiba sahaja dia perlu pulang.

“Dia sangat bagus alhamdulillah. Namun, Allah tahu yang terbaik. Insya-Allah ada hikmah lain,” tulisnya dalam sebuah hantaran InstaStory.

Disebabkan itu, buat masa ini Mira menguruskan sendiri anak sulungnya, Wan Khair Amir setiap hari memandangkan tiada tugasan buat masa kini.

Selama menjaga si kecil, pelakon dan pengacara itu sedar betapa hebatnya kaum wanita di luar sana yang bergelar suri rumah sepenuh masa menguruskan anak-anak sendirian di rumah tanpa pembantu.

“Sejak kebelakangan ini, saya kurang mengemaskini sebab pembantu rumah sudah balik dua minggu lepas atas urusan kecemasan selama lebih kurang dua bulan.

“Amir ada dengan mama (gelaran dirinya) 24 jam kerana tiada sebarang majlis dan penggambaran.

“Saya tidak tahu bagaimana ibu lain boleh melakukan, tetapi masya-Allah hebatnya mereka jaga anak sendiri tanpa pembantu,” ujar pelakon berusia 29 tahun itu.

Isteri kepada Wan Emir itu berharap dapat berjumpa dengan pembantu rumah yang sesuai untuk menjaga anaknya dan berkebolehan menguruskan kerja.

“Susah hati untuk bekerja selagi tidak jumpa pengganti untuk pembantu yang baik dan boleh jaga Amir dan sayangnya seperti anak sendiri.

“Semoga Allah temukan kita dengan orang baik okey, Amir? Semoga Allah bagi Amir pembantu baik, bertanggungjawab, sayang dan paling penting jujur serta ikhlas untuk bekerja,” ujarnya dalam InstaStory.

Dalam pada itu, disebabkan sedih jika berenggang dengan anaknya, Mira memutuskan untuk membawa Amir mengikutnya bekerja pada Januari depan.

“Mama pula nak mulakan kerja dan nanti mahu bawa Amir ikut sekali pada Januari sebab kalau tinggal macam tidak boleh. Nanti Mama menangis.

“Bila sudah jaga Amir sendiri, lagi berat hati untuk tinggalkan dia sebab tidak mudah berenggang,” ujarnya.

Sebelum ini, Mira mendedahkan anak sulungya itu sudah diintai jenama besar dan rumah produksi meskipun baru berusia tujuh bulan.

Amir merupakan anak hasil perkahwinan Mira dan suaminya yang juga arkitek, Wan Emir Astar pada 3 September 2020 di Pusat Konvensyen Sime Darby di Bukit Kiara, Kuala Lumpur. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI