fbpx

Mahkamah: Chek Norhafizzi dituduh culik Azi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Chek Norhafizzi (kiri) dibawa ke Mahkamah Sesyen Pasir Mas hari ini untuk didakwa atas pertuduhan menculik Rosnazirah, tiga bulan lalu.

PASIR MAS – Seorang peniaga didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menculik seorang wanita ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd. Naim, 36, atau lebih dikenali sebagai Azi, tiga bulan lalu.

Tertuduh Chek Norhafizzi Chek Nor, 31, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Badrul Munir Mohd. Hamdy.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama-sama seorang lagi yang masih bebas menculik Rosnazirah dari Malaysia.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di sebuah rumah di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, dekat Tumpat kira-kira pukul 5.06 petang pada 13 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan (Akta 574) dibaca bersama Seksyen 34 akta sama yang memperuntukan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Itah Abu Bakar manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Firdaus Zainal Abidin dan Majdah Muhamad.

Terdahulu, Hajarul Falenna tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kes yang dilakukan tertuduh amat serius apabila membawa wanita tersebut ke negara jiran.

Mohd. Firdaus dalam rayuannya memohon mahkamah memberikan jaminan terhadap anak guamnya dengan jumlah ikat jamin yang setimpal.

Mahkamah kemudiannya menolak permohonan ikat jamin kerana tertuduh berisiko melarikan diri ke negara jiran.

Selain itu, mahkamah turut memandangkan keseriusan jenayah yang dilakukan oleh Chek Norhafizzi yang boleh mengancam nyawa orang lain.

Mahkamah turut menetapkan 20 Januari depa untuk serahan dokumen dan sebutan semula kes.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, Rosnazirah yang juga ejen jualan kosmetik dilarikan sekumpulan lelaki dengan menaiki kereta jenis Toyota Vios pada 13 September lalu.

Pihak berkuasa Thailand telah menyerbu dua buah rumah di tepi Sungai Golok, dipercayai menjadi lokasi Azi disembunyikan selepas dilarikan dari rumahnya di Kampung Semat Jal, Tumpat.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, perselisihan faham antara suami mangsa dengan ahli sindiket dadah yang turut disertainya dipercayai menjadi punca wanita itu diculik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI