fbpx

Lima minit berharga, tatap jenazah anak dari penjara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RUSLAN membawa jenazah Lokman selepas dikafankan di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru semalam.

JOHOR BAHRU – Suasana di Jabatan Forensik Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini semalam hiba selepas ibu kepada kanak-kanak berusia empat tahun yang maut disyaki didera saudara kan­dung terduduk selepas menatap wajah anak bongsunya buat kali terakhir.

Wanita berusia 39 tahun yang masih berada dalam tahanan Penjara Simpang Renggam, Kluang itu diberi peluang kira-kira lima minit untuk berbuat demikian selepas kanak-kanak dikenali Lokman itu selesai dikafankan di Jabatan Forensik hospital berke­naan.

Wanita yang memakai pakaian tahanan berwarna ungu itu turut dilihat menangis sebaik keluar menuju ke van penjara sambil diiringi dua pegawai penjara.

Difahamkan, ibu kepada 11 orang anak itu hanya diberitahu tentang kejadian menimpa Lokman sebaik dia tiba di bilik mayat bagi memastikan emosi ibunya terkawal.

Sementara itu, datuk saudara Lokman, Ruslan Ahmad, 47, menyatakan kekesalannya atas kejadian yang menimpa budak malang itu kerana dia pernah mengambil tanggungjawab menjaga mangsa beberapa bulan sebelum kejadian.

Menurutnya, dia tidak menjangka keputusan untuk memberi peluang kepada ibu kanak-kanak itu menjaga Lokman berakhir sedemikian.

“Pada mulanya, Lokman diambil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebelum dijaga saya.

“Selepas itu, ibunya meminta kebenaran untuk menjaga kanak-kanak itu kerana telah pulih daripada penagihan sebelum kami memberikan dia peluang.

“Sepanjang dalam jagaan ibunya selama sebulan, saya difahamkan keadaan arwah baik,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya, dia kemudian gagal menghubungi keluarga berkenaan sebelum dimaklumkan tentang kejadian menimpa arwah.

“Kalau tahu benda ini akan jadi, saya dah simpan (jaga) sendiri budak itu,” ujarnya.

Tambah Ruslan yang juga kontraktor itu, dia tidak me­ngetahui kanak-kanak itu dipukul dan diperlakukan sedemikian.

“Walaupun sedar ibu mangsa mempunyai kekurangan, tetapi saya tidak menyalahkan dia ke­rana dia tidak tahu anak bongsunya itu diperlakukan sedemikian.

“Saya harap pelaku akan dikenakan tindakan undang-undang sewajarnya,” jelasnya.

Berita berkaitan: Terbayang jeritan dan tangisan Lokman

Menurutnya, dia dan isteri, Rahimah Rahman,45, pernah beberapa kali menjaga Lokman selepas dia dilahirkan pada 31 Di­sember 2018 lalu.

“Saya dan keluarga amat me­nyayanginya (Lokman). Kali ter­akhir bertemu dengannya pada 29 Oktober lepas.

“Saya terkejut sebaik me­nerima berita itu (didera) kerana tidak menyangka ada lagi manusia sanggup memukul budak tidak berdosa,” luahnya.

Kosmo! semalam melaporkan kanak-kanak lelaki disahkan meninggal dunia dalam keadaan menyayat hati selepas disyaki menjadi mangsa ­penderaan kakak kandungnya sendiri.

Hasil siasatan awal polis, mang­sa disyaki telah dipukul menggunakan batang besi, dicucuh dengan besi panas pada seluruh badan termasuk kemaluan selain kesan gigitan pada telinga.

Perbuatan itu dipercayai dilakukan kakak kandung mangsa bersama suami serta tiga rakan wanita terbabit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI