fbpx

Lelaki ‘telekung’ mengaku bersalah curi di masjid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Amirul (depan) dibawa polis untuk dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam, hari ini. FOTO : AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Seorang jurujual mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, atas dua pertuduhan mencuri telefon bimbit jemaah wanita di dua masjid di bandar raya ini, minggu lalu.

Tertuduh, Mohamad Amirul Shafiq Abdullah, 20, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohamad Redza Rezali.

Namun, mahkamah menangguhkan hukuman bagi menunggu laporan sosial tertuduh yang juga pesalah muda.

Mengikut dua pertuduhan, dia didakwa melakukan curi dalam bangunan dengan mencuri dua telefon bimbit milik dua wanita warga emas.

Perbuatan itu dilakukan secara berasingan di Masjid Al-Azhariah dan Masjid Al-Hidayah, Seksyen 18 di sini, pukul 6.25 pagi dan 8.50 malam, 20 Disember lalu.

Pendakwaan kes dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Farah Sofea Norazman memohon penetapan tarikh bagi mengemukakan laporan sosial tertuduh yang masih muda.

“Selain itu, pendakwaan menawarkan kos ikat jamin RM6,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin,” katanya.

Mohamad Amirul Shafiq tanpa diwakili peguam tidak membuat sebarang rayuan pengurangan kos jaminan.

Mohamad Redza membenarkan kos ikat jamin RM3,000 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 17 Januari depan bagi pendengaran laporan sosial tertuduh.

Kosmo! sebelum ini melaporkan perbuatan jahat seorang lelaki yang sanggup bertelekung untuk mencuri beg jemaah wanita di dua masjid di daerah ini tumpas apabila dicekup polis di sekitar Seksyen 18, pada 23 Disember lalu.

Suspek berusia lingkungan 20-an diberkas kira-kira pukul 12.05 tengah malam selain merampas dua telefon bimbit dipercayai hasil kegiatan jenayahnya itu. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI