ALOR SETAR – Tindakan individu tertentu yang sanggup menjadi ‘keldai akaun’ dengan membenarkan akaun bank mereka digunakan pihak lain menjadi antara faktor kegiatan penipuan secara dalam talian terus berleluasa.
Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd. Roze Shaari berkata, perbuatan itu memudahkan scammer untuk terus memperdaya mangsa kerana sukar dijejaki.
“Keldai akaun ini perlu sedar bahawa tindakan sedemikian salah di sisi undang-undang dan jika tertangkap, mereka akan turut dihadapkan ke mahkamah dan boleh dikenakan tindakan.
“Akaun keldai ini sebenarnya mudah dikesan dan ia sekadar dijadikan platform untuk memindahkan wang hasil penipuan kepada scammer,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan program ‘Town Hall’ Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah berkaitan ancaman scammer di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sini hari ini.
Kata Mohd. Roze, pihaknya sedang giat mengesan keldai-keldai akaun sebagai salah satu langkah menurunkan kes-kes penipuan seperti Macau Scam dan Love Scam.
“Jika kita kurangkan jumlah keldai akaun, ini, insha-Allah kita mampu menurunkan kadar penipuan di Kedah dan negara ini,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya membenarkan akaun bank mereka digunakan pihak lain meskipun dibayar untuk berbuat demikian.
“Perbuatan sedemikian langsung tidak berbaloi dengan risiko terpaksa ditanggung,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE