PYONGYANG – Ujian peluru berpandu Korea Utara mencatatkan rekod baharu tahun ini dengan negara yang terasing dari dunia itu meningkatkan kekerapan pelancarannya sekali gus mencetuskan kebimbangan mengenai ujian nuklear, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Pada 2020, sebanyak empat ujian peluru berpandu dilancarkan Pyongyang dan angka itu meningkat dua kali ganda tahun lalu.
Bagi tahun ini, lebih 90 ujian peluru berpandu kruz dan balistik dilancarkan setakat ini, dengan rekod tertinggi adalah 23 misil dalam masa sehari.
Pakar-pakar berkata, tindakan itu menggambarkan strategi pemimpin tertinggi, Kim Jong-un yang mahu menunjukkan kepelbagaian senjata yang dimilikinya, namun kebimbangan kini tercetus mengenai ujian nuklear yang berisiko dilaksanakan.
Pakar Polisi Nuklear dari Carnegie Endowment for International Peace, Ankit Panda berkata, meskipun ujian-ujian tersebut bukan sesuatu yang baharu, kekerapan Pyongyang melaksanakannya menandakan peningkatan signifikan yang telah meletakkan rantau Pasifik dalam situasi berbahaya.
“Perkara utama mengenai tahun 2022 adalah perkataan ‘ujian’ itu tidak lagi sesuai digunakan untuk bercakap mengenai pelancaran-pelancaran misil Korea Utara.
“Pyongyang dilihat seperti bukan lagi melakukan ujian kebelakangan ini.
“Semua yang kita lihat setakat ini mencadangkan bahawa Jong-un amat serius untuk menggunakan keupayaan nuklearnya dalam sebarang konflik sekiranya perlu,” kata Panda.
Tambah firma pemikir tersebut, ujian-ujian yang mendapat perhatian dunia itu turut mencetuskan ‘perlumbaan’ senjata di rantau Asia, di mana negara-negara jiran Korea Utara turut meningkatkan keupayaan ketenteraan masing-masing.
Ia termasuk campur tangan Amerika Syarikat (AS) yang berjanji untuk mempertahankan Korea Selatan dan Jepun menggunakan keupayaan ketenteraan penuh termasuk menggunakan senjata nuklear sekiranya perlu.
Daripada lebih 270 misil dan ujian nuklear dilancarkan Korea Utara sejak 1984, lebih suku daripadanya dilakukan tahun ini, demikian menurut Projek Pertahanan Peluru Berpandu Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa yang berpangkalan di Washington.
Daripada jumlah itu, lebih tiga perempat direkodkan sejak Jong-un berkuasa pada 2011, sekali gus menggambarkan cita-cita pemimpin diktator tersebut untuk membangunkan kuasa nuklear negara pada keupayaan setinggi mungkin seperti yang diumumkan April lalu.
Kebanyakan ujian tersebut merupakan peluru berpandu kruz dan balistik di samping peluru berpandu permukaan ke udara dan misil hipersonik.
“Korea Utara jelas telah bertukar menjadi pengendali utama bagi senjata peluru berpandu berskala besar.
“Apa sahaja yang dilakukan oleh Korea Selatan dan AS, Pyongyang pasti akan mempamerkan bahawa mereka turut mempunyai keupayaan untuk melakukan perkara serupa,” kata Panda. – Agensi