fbpx

Gaji kena potong, wanita minta tolong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Haszita (kanan) kini dijaga oleh anaknya, Hasminatul Syahzanani Nasuha selepas disahkan menghidap penyakit antibodi lemah dan platelet rendah ketika ditemui di Taman Jasmin, Seremban kelmarin.

SEREMBAN – Malang menimpa seorang wanita apabila bukan sahaja terpaksa menanggung sakit antibodi lemah dan platelet rendah, malah perlu memikirkan perbelanjaan dua anak yang masih bersekolah memandangkan dia menjadi pencari rezeki tunggal buat keluarganya.

Haszita Abu Taib, 41, berkata, dia memperoleh pendapatan RM1,800 sebulan dengan bekerja di sebuah kilang di Senawang di sini, namun semuanya hilang gara-gara perlu mengambil cuti sakit.

Mengimbau semula kejadian itu, Haszita berkata, kakinya mula tumbuh bintik-bintik merah seakan ruam sebelum di­sahkan menghidap penyakit itu hingga sukar bergerak dan be­kerja sejak bulan lalu.

“Pemeriksaan di sebuah hospital mengesahkan saya menghidap thrombocytopenia iaitu tahap platlet rendah yang menyebabkan berlaku bintik-bintik merah seakan ruam selain bengkak pada kedua belah kaki.

“Badan rasa lemah hingga hendak bangun berjalan pun susah dan perlu bantuan anak selain rasa sakit bila bercakap,” katanya ketika ditemui di Taman Jasmin di sini semalam.

Menurut Haszita, dia tidak menyangka akan menghidap penyakit itu memandangkan keadaannya normal sebelum ini.

Tambahnya, doktor memaklumkan bahawa penyakit antibodi lemah dan platelet rendah itu mungkin disebabkan kekurangan zat.

“Saya kini hanya bergantung kepada ubat tahan sakit Prednisolone dan perlu mengambil 12 biji sehari seperti disarankan oleh doktor,” katanya yang memberitahu tangannya akan menggigil apabila berasa gemuruh.

Jelas Haszita, dia perlu membuat rawatan susulan di sebuah hospital swasta di Ampang, ­Selangor dalam tempoh terdekat memandangkan tiada doktor pakar berkaitan penya­kitnya di Se­remban.

Lebih menyedihkan, Haszita yang merupakan penanggung tunggal keluarga buntu memikirkan perbelanjaan dua anaknya, Hasminatul Syahzanani Nasuha Mohd. Helmi, 16, dan Mohammad Hasmi Amirul Mohd. Helmi, 13.

“Majikan tahu saya sakit, sekarang gaji bulan Disember dipotong separuh sebab saya ambil cuti sakit terlalu lama dan saya buntu sebab sewa rumah RM400 perlu dibayar setiap bulan.

“Memang saya risau fikirkan anak-anak, apabila sakit macam ini saya tidak dapat bekerja siapa nak tanggung keluarga,” katanya yang berpisah dengan suami sejak 13 tahun lalu.

Jelas Haszita, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat juga telah datang ke rumahnya dan kini dalam proses membuat permohonan.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan bantuan ke akaun Bank Simpanan Nasional Haszita di 0810229000038192 atau hubungi 011-2113 2294.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI