PETALING JAYA – Isu produksi ‘melenjan’ pelakon dan kru bekerja lebih masa sehingga 20 jam seharusnya menjentik ‘orang besar’ Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang mempunyai kuasa untuk menetapkan garis panduan bagi kerja penggambaran.
Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi berkata, selagi tiada perubahan dari segi kepimpinan dalam perbadanan yang tidak peduli masalah penggiat industri seni, selama itulah nasib pelakon dan kru terus tertindas.
“Masalah had bekerja melebihi masa yang melampau antara perkara disuarakan Seniman kepada Finas sejak bertahun-tahun. Malah sekali lagi kami memberikan cadangan solusi pada awal tahun ini.
“Namun tiada sebarang khabar berita seolah-olah kebajikan pelakon dan kru di set penggambaran bukan masalah pihak tersebut.
“Jika semua bentuk penggambaran termasuk dalam platform media sosial peribadi memerlukan lesen daripada Finas sudah pasti pihak tersebut juga mempunyai kuasa menyenaraikan kerja lebih masa sebagai syarat perlu dipatuhi.
“Bukan Seniman cuma tahu mendesak, tetapi kertas cadangan yang dihantar bagi menambahbaik dan meningkatkan mutu profesionalisme produksi tanah air pun mungkin sekadar disimpan di dalam fail,” katanya kepada Kosmo! Online.
Zed atau nama sebenarnya Rozaidi Abdul Jamil berkata, perubahan pengurusan tertinggi yang lebih kepada pelantikan politik membuatkan individu di kerusi utama Finas tidak memahami isu sebenar.
Malah daripada pengamatannya, sikap kurang cakna pihak atasan Finas membuatkan saban tahun industri penerbitan filem dan drama tempatan masih berdepan masalah sama.
“Persatuan hanya boleh membantu agensi atau kementerian memberikan cadangan dan mendesak, tetapi kuasa tetap berada di tangan Finas untuk membuat sebarang penambahbaikan.
“Secara peribadi saya nampak Finas tidak berfungsi dengan baik kerana antara perkara utama perlu dijaga adalah kebajikan pekerja seni sebelum mahu melihat melihat filem kita ke persada dunia,” katanya.
Terdahulu, pelakon Sharnaaz Ahmad menyelar sikap tamak dan mementingkan diri sesetengah penerbit yang mengerah keringat pelakon dan kru tanpa belas di lokasi penggambaran.
Bintang Jebat itu menyifatkan amalan kerja lebih masa berikutan jadual penggambaran tidak menentu pihak produksi adalah isu lama yang kerap dibangkitkan. – KOSMO! ONLINE