PETALING JAYA – EP Manufacturing Berhad (EPMB) telah memperoleh hak eksklusif memasang dan mengedarkan kereta elektrik (EV) yang dibangunkan Lingbao untuk pasaran Malaysia dan juga Indonesia.
Pelaksanaan tersebut dimuktamadkan melalui perjanjian pengedar eksklusif antara anak syarikat milik penuh EPMB, EP 4Wheeler Sdn. Bhd., Hubei Dongfeng Power Auto Trade Co Ltd. dan Xiamen Tsingyan Hylong Motor Technology Co. Ltd.
Pemeteraian tersebut juga adalah untuk memasang dan menjual kereta Lingbox pemanduan kanan dan EPMB diberi hak untuk mengedarkan kereta di bawah jenama sendiri atau jenama Lingbox Auto atau Qingyan Hailong.
Perjanjian lima tahun yang bermula 1 Januari 2023 itu juga memberi pilihan kepada Kumpulan sama ada mahu menggunakan nama jenamanya sendiri untuk kenderaan elektrik (EV) itu.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif EPMB, Lim Sim Yee berkata, pihaknya teruja untuk dikaitkan dengan jenama Lingbao, yang merupakan salah satu jenama kereta yang paling pesat berkembang di China.
Lingbox salah satu model di bawah jenama kereta Lingbao, yang dimiliki oleh Jiangsu Jemmell New Energy Vehicle Co. Ltd yang berpangkalan di China.
Ia disenaraikan dalan 10 EV teratas bersaiz mini yang terlaris di negara berkenaan.
“Perjanjian dengan Hubei Dongfeng dan Xiamen Tsingyan ini mengukuhkan lagi kehadiran EPMB dalam perniagaan EV, selain perkongsian dengan Kumpulan SAEAN untuk mengeluarkan kereta segmen A secara besar-besaran dan perjanjian untuk mengeluarkan motosikal elektrik berjenama Blueshark untuk pasaran Asia Tenggara,”
katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Sim Yee menjelaskan, setelah dikomersialkan, kereta yang dihasilkan di bawah usaha sama ini dijangka menjadi salah satu EV paling mampu milik di bawah RM100,000 di Malaysia.
“Kami menjangkakan sambutan yang baik untuk Lingbox dan kami berharap untuk membawa masuk lebih banyak model baharu untuk menguasai bahagian yang lebih besar dalam pasaran EV serantau.
“Ini akan mewujudkan satu lagi aliran hasil untuk EPMB,” jelasnya.
Lingbox direka sebagai penyelesaian mobiliti elektrik bandar dengan mengutamakan keselamatan dan kemampuan. -KOSMO!ONLINE