fbpx

DUN Perak: Pusat Aktiviti Warga Emas ditubuhkan di setiap Parlimen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salbiah bercakap pada sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan di Ipoh hari ini. - FOTO MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA

IPOH – Kerajaan Perak akan bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk mewujudkan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di setiap Parlimen di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan negeri, Salbiah Mohamed berkata, setakat ini terdapat 12 PAWE ditubuhkan iaitu di Kinta, Muallim, Manjung, Kuala Kangsar, Hilir Perak, Bagan Datuk, Perak Tengah dan Larut, Matang dan Selama.

“Permohonan penubuhan PAWE jika diluluskan JKM bakal menerima geran secara ‘one-off’ sebanyak RM100,000 untuk penyelenggaraan dan pembaikan, pembelian peralatan dan pengoperasian dan geran pengoperasian RM50,000.00 untuk tempoh 12 bulan.

“Peruntukan pengoperasian itu disalurkan bagi tujuan pembiayaan tenaga kerja (elaun penyelia dan pembantu), pengurusan dan sewaan premis,” katanya ketika menjawab soalan lisan Dr. Najihatussalehah Ahmad (Pas-Bota) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini.

Menurut beliau, penubuhan PAWE pada dasarnya dikendalikan Pertubuhan Sukarela kebajikan (PSK) yang berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Bagaimanapun katanya, PSK yang mengendalikan PAWE turut diupayakan agar mampu mendapatkan sumbangan atau sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menjalankan aktiviti supaya tidak bergantung kepada geran kerajaan semata-mata.

“Kerajaan negeri melalui JKM sentiasa menjalankan sesi libat urus dengan semua pengendali PAWE di Perak agar dapat memantau kemajuan dan perkembangan pusat berkenaan.

“Pelbagai usaha seperti pengiktirafan dan penganugerahan juga dibuat dalam usaha memberi galakan sepada semua pengendali PAWE untuk menjadi lebih aktif dan kreatif.

“Kita juga akan terus membantu PAWE yang sedia ada dan menyusun perancangan yang lebih strategik bersama JKM agar PAWE ini dapat ditubuhkan di kesemua 24 Parlimen di negeri ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI