DONETSK – Juara liga Ukraine, Shakhtar Donetsk dikatakan menolak tawaran pertama daripada pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal buat pemain sayap lincahnya, Mykhailo Mudryk.
Khabar angin bertiup kencang sejak awal musim lagi mengatakan Mudryk bakal berhijrah ke Utara London sehinggalah The Gunners mengemukakan tawaran bernilai £55 juta (RM293.51 juta) minggu ini.
Seperti dijangka, Shakhtar enggan ‘melayan’ permainan harga Arsenal kerana bersedia melepaskan bintang Ukraine berusia 21 tahun itu hanya dengan harga berjumlah £85 juta (RM453.60 juta).
“Saya dan ejen tahu ada beberapa kelab dari sekitar Eropah mahu mendapatkan saya tetapi Shakhtar tidak mahu melepaskan saya pergi.
“Bagaimanapun, saya merasakan nilai yang diletakkan oleh Shakhtar sebagai halangan untuk saya beraksi di liga-liga terbaik di Eropah. Sudah tentu ia boleh membunuh impian saya sebagai pemain.
“Namun, saya seorang profesional. Sebagai pemain Shakhtar, saya menghormati keputusan mereka dan cuba berikan yang terbaik dalam setiap perlawanan,” kata Mudryk.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta dijangka meletakkan bidaan lebih tinggi dalam tawaran kedua dengan mengharapkan kehadiran Mudryk pada jendela perpindahan yang akan kembali dibuka bulan depan.
Ia susulan kekosongan di bahagian serangan setelah penyerang utama, Gabriel Jesus mengalami kecederaan panjang ketika mewakili Brazil pada Piala Dunia Qatar 2022 baru-baru ini. – AGENSI