PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menghantar notis kepada Speaker Dewan Rakyat bagi memastikan bekas empat ahli Parlimen Sabah dari Bersatu yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di bawah logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengosongkan kerusi mereka.
Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, notis tersebut adalah bagi memastikan bahawa telah berlakunya kekosongan luar jangka dalam kalangan ahli Dewan Rakyat menurut Perkara 49A(3) Perlembagaan Persekutuan.
“Melalui surat bertarikh 3 November 2022 daripada Setiausaha Badan Pimpinan Bersatu Sabah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Presiden Bersatu telah mengesahkan bahawa keempat-empat ahli Dewan Rakyat tersebut adalah antara calon yang akan bertanding pada PRU15 sebagai anggota Bersatu.
“Keahlian mereka dalam GRS adalah sebagai anggota parti Bersatu,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan sebentar tadi. – KOSMO! ONLINE.