fbpx

Ayam engkong dimasak dengan 20 bahan istimewa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KAMAL IBRAHIM menunjukkan juadah nasi engkong yang ditawarkan di kedai Legasi Engkong Johor, Pontian, Johor.

VARIASI juadah istimewa masyarakat Jawa di Johor pastinya mampu memikat selera sesiapa sahaja.

Selain hidangan popular nasi ambeng, nasi engkong turut menjadi bualan ramai terutama dalam kalangan masyarakat tempatan.

Biasanya, nasi engkong disajikan dengan campuran ayam, nasi, mi, sayuran, ikan masin dan keropok ikan.

Menurut pemilik kedai Legasi Engkong Johor, Kamal Ibrahim Wardi, nasi engkong merupakan juadah istimewa yang mendapat tempat dalam kalangan masyarakat tempatan dan luar Johor terutamanya ketika Ramadan.

Ditanya mengenai maksud engkong dalam bahasa Jawa, Kamal Ibrahim menyatakan, ia membawa makna muafakat.

“Ayam untuk nasi engkong ini memang agak rumit sedikit untuk dibuat. Biasanya, 20 bahan masakan seperti ketumbar, jintan halus, jintan kasar, serai, halia dan santan digunakan untuk memasak hidangan istimewa ini.

“Menariknya, ayam kampung yang tua sahaja boleh digunakan untuk memasak ayam engkong. Ini kerana ia perlu melalui proses rebusan yang lama.

“Dulu proses merebus ayam sangat lama, tetapi kini dengan menggunakan periuk tekanan bersuhu tinggi, ayam lebih cepat empuk,” katanya.

Tambahnya, selepas ayam lembut dan masak, bahan-bahan rempah yang telah dikisar akan dimasak bersama ayam.

“Proses menggaul ayam bersama rempah perlu dilakukan secara berhati-hati. Ia bagi memastikan ayam betul-betul menyerap rempah ini.

“Ayam engkong bukan sahaja enak dan mempunyai rasanya tersendiri. Malah, ia sebenarnya melambangkan budaya masyarakat Jawa yang bermuafakat dan bersatu hati,” katanya yang sudah berniaga hidangan tersebut selama lebih daripada sedekad.

KEDAI Legasi Engkong Johor yang diusahakan oleh Kamal Ibrahim telah beroperasi selama lebih sedekad.

Bercerita lanjut, Kamal Ibrahim yang turut dibantu isterinya, Hamilah Mohd. Amin berkata, dia sentiasa mengutamakan kualiti dalam penyediaan ayam engkong agar keenakannya dapat dikekalkan.

Walaupun hidangan nasi ambeng dilihat hampir serupa dengan nasi engkong, namun dia menjelaskan, terdapat perbezaan antara kedua-dua juadah tersebut.

“Kalau nasi ambeng, ayam yang dimasak biasanya dipotong kepada beberapa bahagian. Bagaimanapun, ayam engkong dimasak seekor tanpa dipotong-potong.

“Jadi, ayam engkong yang biasanya dimasak ungkep akan kelihatan lebih besar dan menarik sehingga mampu memikat selera ramai,” katanya sambil memaklumkan boleh menjual lebih 50 dulang nasi engkong pada setiap hari.

Tambah Kamal Ibrahim, tidak sekadar hidangan istimewa orang Jawa, nasi engkong turut digemari Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Dia memaklumkan, sewaktu Kembara Mahkota Johor 2015, Sultan Ibrahim berkenan singgah di Kampung Parit Panjang, Ayer Baloi, Pontian iaitu lokasi gerainya beroperasi.

Ujarnya, dia tidak menyangka ayam engkong itu mendapat pujian baginda.

Bertitik-tolak daripada pujian diterima itu, ia membuatkan dia ingin mengkomersialkan nasi engkong ke luar Pontian dan Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI