TIDAK beberapa lama lagi, pekerja di negara ini akan menikmati faedah baharu dalam dunia pekerjaan apabila mereka dibenarkan untuk memohon Aturan Kerja Fleksibel kepada majikan masing-masing.
Menariknya, melalui kebenaran itu, pekerja hanya perlu membuat surat permohonan kepada majikan untuk memohon perubahan waktu bekerja, hari berkerja mahupun lokasi tempat bekerja.
Malah, berdasarkan tinjauan di laman media sosial, rata-rata pekerja menzahirkan perasaan teruja dengan peraturan baharu itu berikutan menyifatkan ia mampu meningkatkan kualiti kerja seterusnya membolehkan prestasi syarikat dikekalkan.
Jika difikirkan menerusi aspek peningkatan kualiti kerja melalui kerja fleksibel ada benarnya memandangkan pekerja dapat mengatur masa di rumah selain tidak membazirkannya lebih-lebih lagi apabila tersekat dalam kesesakan jalan raya.
Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, Dr. Muzaffar Syah Mallow berkata, pindaan baharu itu dilakukan selaras dengan tinjauan dilakukan apabila lebih 60 peratus pekerja sepenuh masa Malaysia memilih bekerja secara fleksibel.
“Aturan kerja fleksibel bukan sahaja menjadi pilihan utama pekerja Malaysia, malah hasil kajian dilakukan Qualtrics menunjukkan kira-kira 60 peratus pekerja sepenuh masa di Asia Tenggara memilih membuat perkara sama.
“Situasi itu jelas menunjukan aturan kerja secara fleksibel kini menjadi tarikan bukan sahaja di Malaysia tetapi negara antarabangsa lain,” katanya baru-baru ini.
Katanya, dunia turut menyaksikan pelbagai perubahan semenjak penularan Covid-19 di mana ada aturan kerja tidak boleh diamalkan oleh sektor-sektor pekerjaan tertentu.
“Proses pembaharuan itu perlu dilakukan di negara kita dan dalam konteks ini majikan perlu melaksanakan segala pindaan yang telah dilakukan terhadap Akta Kerja 1955 selepas ia berkuat kuasa kelak.
“Tindakan tegas perlu diambil ke atas pihak majikan yang gagal melaksanakannya mengikut peruntukan undang-undang yang ada dalam negara kita,” ujarnya.
Pada masa sama, katanya, perubahan yang dilakukan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dalam aturan kerja perlu dikekalkan demi manfaat golongan pekerja.
“Antara perubahan perlu dikekalkan adalah dengan terus melaksanakan aturan kerja secara fleksibel dalam bekerja bergantung kepada jenis pekerjaan.
“Pelaksanaan sistem pekerjaan secara fleksibel itu memudahkan pekerja untuk menjalankan kerja mereka tanpa perlu mengharungi kesesakan jalan raya serta risiko-risiko lain juga,” jelasnya.
Susulan itu, katanya, manfaat diperolehi dapat mengurangkan beban dan tekanan kepada pekerja sekaligus menjadikan golongan itu lebih produktif serta dapat memberi khidmat yang terbaik kepada organisasi.