PHNOM PENH, KEMBOJA – Sebanyak 10 orang maut dalam satu kebakaran di sebuah hotel kasino dekat sempadan Thailand di Kemboja, dengan beberapa gambar menunjukkan orang ramai cuba menyelamatkan diri ketika api marak mengelilingi mereka.
Kebakaran di Hotel Kasino Grand Diamond City di Poipet itu berlaku lewat malam semalam iaitu sekitar pukul 11.30 malam (waktu tempatan), kata polis tempatan.
Satu laporan polis yang dilihat oleh wakil AFP menyebut bahawa kira-kira 10 orang meninggal dunia manakala 30 lagi cedera.
Tambah laporan tersebut, sekitar 400 individu dipercayai bekerja di premis berkenaan.
Beberapa gambar yang diperoleh AFP menunjukkan bangunan hotel tersebut dijilat api marak dengan anggota bomba bertungkus-lumus mengawal kebakaran.
Anggota penyelamat turut cuba membawa turun mangsa-mangsa yang terperangkap di tebing bangunan yang terbakar.
Dalam satu klip yang dikongsikan, seorang lelaki dilihat duduk di tepi tingkap ketika asap memenuhi bahagian belakangnya.
Menurut laporan media tempatan, terdapat beberapa warga asing yang turut berada di dalam kasino tersebut ketika kebakaran berlaku.
Satu sumber Kementerian Luar Thailand berkata, ia sedang menyelaras rapat insiden itu bersama pihak berkuasa tempatan, dengan mangsa-mangsa yang cedera dibawa ke beberapa hospital di wilayah Sa Kaeo di Thailand.
“Pihak berkuasa cuba mengawal kebakaran termasuk mengerahkan sebilangan jentera bomba dari Thailand,” kata sumber tersebut.
Dalam pada itu, sukarelawan sebuah kumpulan menyelamat Thailand yang dikenali sebagai Yayasan Ruamkatanyu memberitahu, kebakaran bermula di tingkat satu sebelum api merebak dengan pantas di sepanjang permaidani, seterusnya memenuhi keseluruhan bangunan bertingkat itu. – AFP