fbpx

Terbayang jeritan dan tangisan Lokman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ruslan menunjukkan gambar Lokman yang berusia empat tahun di kediamannya di Labis, Segamat.

SEGAMAT – Datuk saudara kepada kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang lebih mesra disapa Lokman yang meninggal dunia akibat didera terbayang akan jeritan dan tangisan kanak-kanak malang tersebut.

Ruslan Ahmad, 47, berkata, perbuatan tersebut tidak dapat diterima dan menyifatkan perbuatan si pelaku lebih kejam daripada haiwan.

“Saya terbayang jeritan dan rintihan cucu saudara saya menahan kesakitan dengan linangan air mata ketika di dera. Saya terkejut sebaik menerima berita itu (didera) kerana tidak menyangka ada lagi manusia yang lebih kejam daripada haiwan memukul budak tidak berdosa.

“Saya amat sedih tetapi kami sekeluarga reda dengan pemergiannya,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Labis awal pagi ini.

Ruslan sebelum ini bersama isterinya, Rahimah Rahman,45, pernah beberapa kali menjaga Lokman sejak dilahirkan pada 31 Disember 2018 lalu.

“Saya dan keluarga amat menyayanginya (Lokman) sebelum dia di bawa tinggal di Batu Pahat dan kali terakhir bertemu dengan cucu saudara saya itu pada 29 Oktober lepas.

“Kalau ikutkan, Jumaat lalu, sebaik dimaklumkan dia dimasukkan ke hospital, saya bersama isteri ingin ke Hospital Sultan Ismail untuk bertemu dengannya, tapi keadaannya yang tidak sedarkan diri serta sedang menerima rawatan intensif membuatkan saya membatalkan niat tersebut,” katanya.

Ruslan turut merasa terkilan tidak dapat menatap wajah Lokman buat kali terakhir selepas mangsa disahkan meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini, petang semalam.

Menurut Ruslan, jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Gatom hari ini.

Sementara itu dalam satu kenyataan, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat, berkata pihaknya menerima satu laporan polis daripada seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun yang memaklumkan mangsa kanak-kanak lelaki pengsan di rumahnya dan dibawa ke klinik untuk rawatan pada pukul 6.45 petang Jumaat lalu.

Bagaimanapun kanak-kanak lelaki malang tersebut kemudiannya disahkan meninggal dunia selepas dipercayai menjadi mangsa dera di Senggarang, Batu Pahat.

“Bertindak atas maklumat, anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat telah menahan lima warga tempatan, dua lelaki dan tiga wanita berusia 15 hingga 37 tahun antara pukul 12 tengah hari hingga 9.45 malam Sabtu.

“Kita percaya mereka terbabit dalam kejadian mendera mangsa sehingga mati.

“Hasil siasatan awal, mangsa ini dijaga oleh kakak kandungnya selepas ibu bapa mereka dimasukkan ke dalam penjara akibat kesalahan dadah, namun kemudian mangsa diserahkan kepada rakan kakaknya untuk dijaga,” katanya.

Beliau berkata, polis turut merampas barang yang disyaki digunakan untuk mendera mangsa antaranya pengecas telefon bimbit, sarung bantal, cadar, batang besi berukuran 29 inci, penyangkut baju, jaring penutup kipas dan batang besi penongkat motosikal. –  KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN