SEPANG – Kementerian Pengangkutan (MOT) mahu syarikat penerbangan memperbaiki aspek komunikasi antara penumpang khususnya ketika berdepan kelewatan atau penangguhan penerbangan.
Menterinya, Anthony Loke berkata, pada masa sama, pihaknya juga berharap syarikat penerbangan juga dapat mengurangkan isu kelewatan penerbangan.
Beliau berkata, pihaknya berharap isu berkenaan dapat dikurangkan selain penumpang perlu keadaan itu berikutan faktor cuaca seperti insiden yang menimpa Batik Air.
“Kami harap aspek komunikasi antara penumpang berhubung soal kelewatan dapat ditangani dengan baik dan perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengumuman penerbangan tambahan Air Asia sempena Tahun Baharu Cina di sini tadi.
Mengulas isu kelewatan penerbangan Batik Air yang tular sebelum ini, Loke berkata, pesawat berkenaan terpaksa dilencongkan ke Langkawi disebabkan cuaca buruk.
“Sebaik mendarat di Langkawi, juruterbang terbabit didapati sudah bertugas melebihi masa penerbangan, jadi satu set kru baharu terpaksa diterbangkan ke Langkawi untuk mengambil alih tugas.
“Namun, itu semua bukan alasan, tapi apa yang saya cuba beritahu adalah daripada segi keadaan, pesawat itu beroperasi dalam keadaan yang mencabar dan kerana sebab itu ada kelewatan yang tidak dapat dielakkan,” katanya.
Ditanya mengenai gesaan penumpang yang mengalami kelewatan penerbangan supaya diberi bayaran balik berbanding baucar percuma, Loke berkata, beliau tidak pasti sama ada bayaran balik itu menjadi sebahagian syarat selepas pembelian tiket.
“Jika penumpang tidak gembira dengan apa yang diberikan, mereka boleh membuat aduan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM),” katanya. – KOSMO! ONLINE