ANKARA – Presiden Turkiye, Recep Erdogan menyifatkan kesukaran dihadapi Cristiano Ronaldo pada Piala Dunia bersifat ‘tempias politik’ kerana pemain itu memberi sokongan kepada Palestin.
Selepas dihimpit kontroversi temu bualnya bersama Piers Morgan hingga berakhirnya karier di Manchester United, situasi dihadapi Ronaldo menafikan hasratnya untuk menoktahkan kejuaraan Piala Dunia pada penampilan terakhir di pentas tertinggi dunia itu
“Mereka telah mempersia-siakan Ronaldo. Menurunkan pemain seperti Ronaldo pada 30 minit terakhir pastinya beri kesan psikologi dan menghilangkan tenaganya.
“Ronaldo adalah seseorang yang sentiasa membela perjuangan Palestin,” katanya.
Sebelum ini, pengurus Portugal, Fernando Santos bertindak drastik dengan tidak menyenaraikan Ronaldo dalam kesebelasan utama termasuk hanya memberi peluang kepada pemain 37 tahun itu beraksi 30 minit pada pertemuan dengan Maghribi di peringkat suku akhir.
Bagaimanapun, setakat ini Ronaldo masih belum membuat kenyataan rasmi berhubung Palestin dan kenyataan dibuat Erdogan juga seakan belum jelas siapa yang dimaksudkan.
Sebelum ini juga, bintang Portugal itu pernah bergambar dengan mengenakan kain selendang Palestin, namun tindakannya itu sebagai mewakili Persatuan Bola Sepak Palestin dan sekarang sedang dikaitkan berhijrah ke Arab Saudi selepas dilaporkan bakal melengkapkan perpindahan ke Al-Nassr.
“Menurut maklumat yang saya dapat, Ronaldo kini sedang dalam perjalanan ke Arab Saudi,” kata Erdogan. – AGENSI