PETALING JAYA – Kenanga Research mengekalkan unjuran inflasi Malaysia sebanyak 3.3 peratus bagi tahun ini daripada 2.5 peratus pada 2021, sebelum kadar inflasi dijangka menyederhana kepada 2.5 peratus pada tahun depan.
Firma tersebut dalam nota penyelidikan yang dikeluarkan semalam berkata, pihaknya beranggapan harga teras akan mula memperlihatkan pola menyederhana dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
“Ini disebabkan penurunan harga barangan import di tengah-tengah pengukuhan ringgit dan permintaan global yang semakin perlahan, bagaimanapun risiko kekal condong ke arah bawah disebabkan ketidaktentuan ekonomi yang meningkat.
“Inflasi dijangka mula menurun pada suku kedua 2023 kerana kerajaan baharu menjadikan usaha menangani peningkatan kos sara hidup sebagai keutamaan sambil mengekalkan subsidi sehingga sekurang-kurangnya akhir suku kedua 2023.
“Ditambah dengan pembukaan semula China dan normalisasi pada rantaian bekalan, kadar inflasi negara mungkin turun kepada purata 2.5 peratus tahun depan,” ujarnya.
November lalu, Malaysia merekodkan inflasi sebanyak empat peratus tahun-ke-tahun apabila tekanan harga semakin berkurangan, sebahagian daripadanya disebabkan kesan asas namun inflasi kumpulan makanan menyaksikan peningkatan ketara sebanyak 7.3 peratus.
Berbanding negara-negara lain, Jepun merekodkan inflasi sebanyak 3.8 peratus pada November, Indonesia (5.4 peratus), Thailand (5.6 peratus), Singapura (6.7 peratus), Amerika Syarikat (7.1 peratus) dan Zon Eropah pula 10.1 peratus.
Dalam pada itu, Kenanga Research berkata, Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas lagi pada Januari depan, selari dengan trend pengetatan dasar monetari global untuk mengekang inflasi.
Pada masa sama, firma itu meletakkan kemungkinan sebanyak 50 peratus untuk satu lagi kenaikan OPR pada kadar sama pada Mac 2023, disebabkan peningkatan risiko ketidaktentuan global dan potensi pertumbuhan domestik yang semakin perlahan pada akhir tahun depan.
“Oleh itu, kami menjangkakan OPR pada sekitar tiga hingga 3.25 peratus, selari dengan purata OPR jangka panjang dan selepas itu, kami melihat BNM akan mengekalkan kadar OPR untuk sepanjang tahun 2023,” ujarnya.