KOTA BHARU – Polis tidak menolak kemungkinan kematian seorang mekanik yang ditemui di dalam tali air di kawasan kebun kelapa di Kampung Kubang Kacang di sini Sabtu lalu berpunca daripada pergaduhan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang berusia 45 tahun itu mungkin terlibat pergaduhan dengan individu lain yang tidak berpuas hati dipercayai mempunyai kaitan dengan isu baik pulih kenderaan.
Menurutnya, sehubungan itu, polis sudah mengambil keterangan daripada tiga orang saksi untuk membantu siasatan kes tersebut.
“Polis akan menyiasat kes ini daripada semua sudut. Ahli keluarga atau orang awam dan rakan-rakan mangsa yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes itu diminta supaya tampil menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan.
“Setakat ini, hasil bedah siasat yang dijalankan di Hospital Raja Perempuan Zainab II di sini mendapati mangsa meninggal dunia akibat lemas di dalam tali air itu,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Zaki berkata, siasatan mendapati, sebelum kejadian, mangsa yang tinggal di Pengkalan Chepa di sini dikatakan berada di rumah abangnya tidak jauh dari tempat kejadian.
Katanya, mangsa dipercayai meninggal dunia dalan tempoh kurang 24 jam pada Sabtu lalu sebelum dia ditemui oleh penduduk kampung.
Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, selepas lebih 24 jam hilang, seorang mekanik ditemui mati di dalam takungan air banjir di kawasan kebun kelapa di Kampung Kubang Kacang di sini pada Sabtu lalu.
Mangsa, Wan Mohd. Aznizam Wan Mohamad, 45, dijumpai oleh penduduk kampung tersebut kira-kira pukul 10.30 pagi.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pasir Tumboh, Ayob Mahmood berkata, anggota bomba membantu mengusung mayat mangsa keluar dari tempat kejadian sejauh 500 meter sebelum menyerahkan kepada pihak polis. – KOSMO! ONLINE