PETALING JAYA – Seorang pemandu kereta jenis Proton Saga cedera selepas kenderaannya dilanggar sebuah kereta dipandu pemandu mabuk yang datang dari arah bertentangan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran jejambat Taman Megah, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.09 pagi itu, pemandu dan penumpang kerena jenis Honda Civic yang melanggar kereta jenis Proton Saga berkenaan turut mengalami kecederaan.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, siasatan awal mendapati kemalangan itu terjadi akibat pemandu Honda Civic dibawah pengaruh alkohol memandu kereta melawan arus.
“Lelaki tempatan berusia 27 tahun itu bersama seorang penumpang telah terlanggar kereta Proton Saga yang datang dari arah bertentangan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ekoran perlanggaran itu, dua penumpang Honda Civic dan pemandu Proton Saga mengalami kecederaan dan dikejarkan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk menerima rawatan.
Bagaimanpun, menurut Mohamad Fakhrudin, pemandu Honda Civic tersebut ditahan reman dua hari sehingga esok bagi siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -KOSMO! ONLINE.