KUALA NERUS – Kehidupan seorang ibu tunggal terus teruji apabila kanser payudara yang dideritainya sejak tiga tahun lalu semakin kritikal sejak akhir-akhir ini.
Rohani Jusoh, 48, yang menjadi ibu tunggal sejak 10 tahun lalu terpaksa menjalani pembedahan membuang payudara kiri pada hujung November lalu.
“Keadaan saya semakin lemah sejak pembedahan tersebut sehingga menyebabkan kebanyakan masa hanya terlantar di atas katil.
“Saya terpaksa berhenti kerja sebagai pekerja am di sebuah sekolah sekali gus kehilangan pendapatan RM1,200 sebulan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tok Jembal di sini baru-baru ini.
Rohani berkata, dia kini bergantung harap dengan dua anak berusia 20 dan 29 tahun untuk membiayai keperluan hidup.
Tambah wanita itu, ia termasuk kos membeli lampin pakai buang, susu khas dan ubat-ubatan yang dianggarkan menelan belanja RM1,500 sebulan.
“Tambah menyedihkan, saya kini diuruskan ibu, Zaiton Sulung, 76, yang uzur dan menghidap tekanan darah tinggi.
“Sepatutnya saya yang menjaganya pada usia emas ini tetapi inilah suratan hidup kami,” katanya.
Rohani berkata, tambah merunsingkannya, pegawai perubatan turut mengesan ketulan disyaki sel kanser pada payudara kanannya baru-baru ini.
Dia berkata, pemeriksaan lanjut akan dilakukan di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Kuala Terengganu pada masa terdekat.
“Doktor tidak menolak kemungkinan pembedahan membuang payudara kedua dengan kos sendiri juga perlu dilakukan,” katanya.
Orang ramai yang bersimpati boleh menghulurkan sumbangan menerusi akaun bank Rohani bernombor 163019431412 (Maybank) atau menghubungi wanita itu di talian 011-2558 9034.