SEBAGAI ‘pemula acara’ sambutan tahun baharu 2023 dengan misi lebih banyak kandungan berkualiti buat penonton, Awesome TV mengembalikan nostalgia peminat terhadap kumpulan lawak terkenal, Senario.
Kumpulan yang pernah mencetuskan fenomena luar biasa suatu ketika dahulu kembali dengan buah tangan terbaharu apabila tampil dengan sketsa berjudul Kampung Senariuh.
Menghiasai slot Sitcom, program berkenaan bakal menemui penonton bermula 1 Januari, setiap Sabtu dan Ahad pukul 9 malam.
Diarahkan Bob Ismail Hasim, Kampung Senariuh dibintangi barisan asal Senario iaitu Wahid, Azlee, Saiful Apek dan Yassin, selain turut menampilkan pelawak Mamak Puteh selaku pelakon pembantu.
Setiap minggu bersiaran, sketsa tersebut menampilkan barisan pelakon terkenal tanah air seperti Mia Nasir, Afifah Nasir, Zalif Sidek, Marisa Yasmin, Ammar Titan dan Chiwan selaku artis undangan.
Lebih menarik, bintang kelahiran program Awesome Raja Lawak seperti Kumpulan Soda, Manja, Azhar, Amin, Oky dan Afea turut diundang selaku penampilan khas.
Seiring memperkenalkan Kampung Senariuh baru-baru ini, Awesome TV buat julung kalinya turut meraikan pengamal media menerusi Majlis Malam Apresiasi Media Bersama Awesome TV.
Majlis santai tersebut diadakan sebagai tanda penghargaan dan terima kasih stesen televisyen berkenaan atas segala sokongan dan liputan yang diberikan sepanjang mereka mula bersiaran sejak 2020.
“Pihak media memainkan peranan yang sangat penting dalam membantu membuat hebahan dan liputan berita khususnya berkaitan dengan program-program terbitan Awesome TV sejak kami mula beroperasi.
“Tanpa jasa dan usaha keras semua pihak yang terlibat sebagai penghubung berita dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan tidak berat sebelah mengenai Awesome TV kepada seluruh rakyat Malaysia, kami tidak akan berada di tahap sekarang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Awesome TV, Datuk Adam Ilyas.
Pada masa sama, Adam turut berbesar hati atas pengiktirafan yang diterima Awesome TV daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) pada majlis MCMC Star Rating Awards 2021 yang berlangsung minggu lalu.
Stesen tersebut merangkul anugerah Best In Consumer Satisfaction bagi kategori televisyen percuma sekali gus berjaya meletakkan tanda aras baharu dan mengukuhkan kedudukan sebagai pilihan utama rakyat Malaysia.
“Sebagai pembekal kandungan hiburan tanah air, kami amat gembira dengan pengiktirafan cemerlang ini, sebuah penghormatan yang cukup membanggakan.
“Anugerah ini membuktikan segala usaha keras dan komitmen berterusan Awesome TV berjaya memberi kepuasan kepada penonton dari segenap lapisan masyarakat,” ujar Adam.
Untuk rekod, Awesome TV berjaya mencatatkan jumlah tontonan terkumpul yang melonjak sehingga 2.6 bilion sejak beroperasi berdasarkan laporan yang dikeluarkan firma penyelidikan, pengguna dan media, Nielsen Malaysia.