PUTRAJAYA – Jabatan Alam Sekitar (JAS) memohon kerjasama awam untuk memberi ulasan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) bagi pelaksanaan projek resort di Pulau Redang, Terengganu.
Menerusi hantaran dalam laman sosial rasminya, JAS berkata, projek itu bakal melibatkan sebanyak sembilan lot dengan keluasan keseluruhan ialah 33.12 hektar.
“Projek tiga fasa ini dijangka memberi impak positif dan negatif terhadap alam, namun pelbagai langkah mitigasi sudah pun diperincikan dalam laporan EIA tersebut.
“Jadi, ia boleh diteruskan dalam konteks pembangunan rangka kerja mampan dan mempromosikan Pulau Redang sebagai destinasi percutian,” katanya.
Berdasarkan hantaran itu, penggerak projek, The Taaras Beach & Spa Resort (Redang) Sdn. Bhd. bercadang melaksanakan pembangunan pelancongan bercampur di pulau itu.
Ia bakal siap dalam tempoh masa 10 tahun yang meliputi hotel dan vila percutian, kuarters pekerja untuk kapasiti 130 staf serta lengkap segala prasarana dan kemudahan awam. – KOSMO! ONLINE