fbpx

Inisiatif Nano Retailers bantu perkasa suri rumah, B40

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Salahuddin Ayub (kiri) melancarkan aplikasi DIMP sempena Majlis Temu Rapat Bersama Menteri yang diadakan di Hotel Berjaya Waterfront, Johor Bahru, malam semalam.

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup sedang mengkaji inisiatif ‘Nano Retailers’ sebagai langkah mengupayakan masyarakat B40 khususnya golongan wanita yang menjadi suri rumah tangga sepenuh masa.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, inisiatif berkenaan akan menjadikan golongan terlibat sebagai peniaga runcit kecil-kecilan yang menjual barangan keperluan harian asas penduduk negara ini.

Katanya, projek perintis akan dimulakan terlebih dahulu dengan menyasarkan golongan sasar sama ada peserta program mahupun pengguna di setiap negeri.

“‘Nano Retailers’, asalnya inisiatif ini bernama ‘Rezeki Suri’, matlamatnya adalah untuk memberikan peluang kepada suri rumah sepenuh masa meniaga 11 barangan keperluan asas.

“Dalam program ini, kita akan bantu mereka mendapatkan bekalan secara terus daripada pengilang untuk dijual kepada pengguna, langkah ini akan dapat menyelamatkan mereka daripada beberapa lapisan orang tengah.

“Di samping dapat memberikan mereka pendapatan secara kecil-kecilan, golongan sasar iaitu masyarakat B40 juga boleh membeli barangan keperluan dengan harga murah. Ini merupakan salah satu program yang saya mahu jayakan dalam tempoh 100 hari memasuki pejabat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas menghadiri Majlis Temu Rapat Bersama Menteri yang diadakan di Hotel Berjaya Waterfront, di sini malam semalam.

Tambah Salahuddin, antara barangan keperluan asas yang akan dijual melalui program ini termasuklah gula, tepung, susu, minyak masak, beras dan barangan kering lain.

“Idea itu telah dibawa ke peringkat kementerian sebagai satu langkah yang sangat praktikal dalam menangani isu kenaikan harga keperluan asas dan juga kesukaran mendapatkan bekalannya.

“Kita akan cuba buat ‘pilot project’ di beberapa lokasi, negeri dan pantau, jika dapat sambutan menggalakkan ia akan diluaskan di peringkat kebangsaan, ini penting untuk perkasa suri rumah,” ujarnya.

Menurut Salahuddin lagi, konsep sama telah dilakukan di Bangladesh yang mana terbukti berjaya memperkasa usahawan kecil terdiri daripada golongan miskin wanita dalam menguatkan ekonomi keluarga mereka.

“Golongan suri rumah juga dipilih untuk menjayakan inisiatif ini atas data dan statistik yang terbukti menunjukkan bahawa mereka antara individu yang berdisiplin dalam membayar hutang, jadi mudah untuk mereka dapatkan pembiayaan daripada institusi kewangan,” jelasnya lanjut.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN