IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini meluluskan Belanjawan Perak 2023 berjumlah RM1.19 bilion.
Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tahun 2023 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2023 diluluskan selepas dipersetujui sebahagian besar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Seramai 23 ADUN mengambil bahagian dalam sesi perbahasan semalam dengan sembilan daripadanya merupakan wakil rakyat blok kerajaan dan 14 wakil rakyat blok pembangkang.
Belanjawan Perak 2023 bertemakan Perak Makmur, Rakyat Sejahtera itu dibentangkan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad pada Khamis lalu.
Menerusi Belanjawan Perak 2023, peruntukan berjumlah RM1.19 bilion disediakan dengan anggaran perbelanjaan mengurus sebanyak RM794 juta dan pembangunan RM395 juta.
Speaker DUN Perak, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid sebelum itu mengarahkan semua ADUN yang menyokong belanjawan tersebut menyatakan persetujuan.
Semua ADUN yang hadir kemudiannya menyatakan persetujuan secara sebulat suara tanpa pindaan terhadap belanjawan berkenaan.
Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad ketika sesi penggulungan berkata, belanjawan yang dibentangkan itu sangat penting kerana menentukan tahap kesiapsiagaan kerajaan negeri dalam mengharungi ketidaktentuan ekonomi sama ada di peringkat nasional mahupun global.
Malah katanya, ia juga akan menjadi indikasi keupayaan untuk mencipta momentum bagi menjayakan segala perancangan yang termaktub dalam pelan Perak Sejahtera 2030. – KOSMO! ONLINE