fbpx

Derita Azizulhasni di bumi Australia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH, WARTAWAN EKSEKUTIF

MALAYSIA masih boleh terus menyandarkan harapan kepada Datuk Muhammad Azizulhasni Awang dalam misi memburu emas pertama di Sukan ­Olimpik menjelang edisi Paris 2024.

Ia berdasarkan kejayaan jaguh berbasikal trek negara itu kembali menaiki podium antarabangsa yang pertamanya selepas berehat panjang susulan pembedahan jantung pada April lalu.

Magis Azizulhasni ternyata masih belum berkarat apabila berjaya menggondol pingat emas dan perak dalam acara pecut serta keirin pada edisi ke-125 Kejohanan Austral Wheelrace di Melbourne, Australia minggu lepas.

Namun, ada sesetengah orang merasakan pertandingan itu kurang berkompetitif tinggi se­perti kejohanan-kejohanan lain seperti Piala Negara-Negara atau Piala Trek Asia yang menawarkan pungutan mata ranking dunia.

Begitupun, Olimpian berusia 34 tahun itu layak mendabik dada dan berbangga terhadap pencapaiannya atas beberapa faktor bermula dengan masalah kesihatan yang ‘menyerangnya’ awal tahun ini.

Sudahlah mengambil masa lama tidak ke trek kerana proses rehab termasuk pembedahan jantung, malah tidak ramai juga yang tahu The Pocket Rocketman terpaksa menempuhi pelbagai dugaan di bumi Australia.

Boleh dikatakan atlet dari Terengganu itu melakukan semua perkara melibatkan persediaan perlumbaan secara bersendirian buat kali pertama dalam kariernya.

Dialah mekanik, pembantu dan jurulatih kepada diri sendiri untuk menguruskan segala perkara dalam kejohanan yang dianggap sebagai perlumbaan legenda kerana telah berlangsung sejak 1897.

“Saya berbangga walaupun terkontang-kanting seorang diri. Pelbagai perkara saya lakukan secara multitasking termasuk warm up dan tukar gearing sendiri.

“Proses pemulihan agak perlahan pada usia pertengahan 30-an ini berbanding ketika 20-an. Ini kali pertama saya perlu berhadapan dengan cabaran pada usia sebegini.

“Bukan sesuatu yang ideal untuk tahap prestasi tinggi tetapi kadang-kadang jiwa kena kental. Jika kita sentiasa berusaha gigih tanpa rasa berputus asa, kejayaan itu akan pasti berdamping dengan kita tidak kira tua atau muda.

“Walaupun menjalani pembedahan jantung awal tahun ini, saya tidak melihat ia menjadi halangan saya terus berjuang untuk negara dan beraksi di Paris 2024. Masih dengan misi (ter­akhir) untuk menggapai pingat emas,” katanya.

Kejayaan Azizulhasni adalah contoh tepat yang seharusnya diceritakan kepada generasi muda supaya boleh memberikan inspirasi kepada mereka.

Pelbagai podium sudah berjaya ditakluk oleh bekas juara dunia keirin itu seperti tujuh pi­ngat Kejohanan Dunia selain perak dan gangsa Sukan Olimpik.

Menariknya, jarang sekali mendengar kontroversi atau kisah panas membabitkan jaguh yang cuma berketinggian 1.68 meter itu di dada akhbar sejak membuat debut seawal usia 16 tahun.

Penganalisis sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli menyifatkan kejayaan Azizulhasni itu membuktikan beliau seme­mangnya layak diangkat sebagai contoh terbaik buat atlet-atlet kebangsaan yang lain.

“Never say die, tidak cepat berputus asa atau me­nyerah kalah walaupun berdepan masalah kesihatan. Bangkit semula dan bekerja keras untuk dapatkan prestasi terbaiknya.

“Selagi hayat dikandung badan, selagi beliau rasa boleh, beliau akan terus berjuang untuk negara. Inilah role model yang tepat kepada atlet-atlet muda.

“Bukan gambaran menang di Australia, Azizulhasni akan mudah menang kejohanan dunia atau sebagainya. Namun, ini petanda yang baik untuk kita masih lagi boleh menaruh harapan kepadanya di Paris 2024,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI